Kenyataan presiden PAS sepertimana yang disiarkan di http://m.malaysiakini.com/news/377638 tidak lebih sekadar mempamerkan ego parti berjenama Islam itu setelah dipermainkan oleh Najib dan UMNO BN berhubung isu pindaan RUU 355. Ia merupakan ‘syndrome of denial‘ Hadi.
Selain itu, kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan juga sepertimana dilaporkan http://m.malaysiakini.com/news/377509 bagi saya wajar menjadi tamparan buat PAS. Sekurang-kurangnya atas niat apa sekalipun, Najib tahu menghormati keputusan konsensus gabungan parti-parti dalam BN berbanding PAS sewaktu bersama Pakatan Rakyat dahulu.
PAS harus sedar. Parti itu telah gagal mematuhi keputusan bersama Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 lalu yang telah bersetuju untuk membincangkan lebih terperinci isu enakmen jenayah syariah (hudud) dan isu berkaitan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam satu mesyuarat khas Pakatan Rakyat.
Asas kepada keputusan tersebut amat jelas memandangkan kedua-dua isu ini merupakan isu kontroversi yang jika tidak ditangani dengan bijak, akan memberi keuntungan politik kepada UMNO BN.
Kesan kegagalan PAS telah menyebabkan isu pindaan usul RUU 355 menjadi polemik berpanjangan sehingga hari ini.
Dalam tempoh tersebut, perpecahan berlaku dalam PAS dan Pakatan Rakyat. Bahkan rakyat turut menjadi keliru. Fokus kepada agenda membela nasib rakyat dan menyelamatkan Malaysia oleh pembangkang dilihat berbolak balik.
PAS perlu akui bahawa banyak masa telah dihabiskan kesan dari polemik pindaan usul RUU 355 ini, berbanding membincangkan isu-isu rakyat seperti cukai GST yang membebankan, penyusutan nilai matawang ringgit, penguncupan kuasa beli rakyat, serta rasuah dan salahguna kuasa pemimpin dalam urustadbir negara.
Isu-isu inilah sebenarnya secara langsung menyentuh survival hidup seharian rakyat yang mesti diperjuangkan.
Kenyataan Hadi bahawa ‘PAS langsung tidak terkesan’ apabila Najib menyatakan hasrat kerajaan tidak membentangkan usul pindaan RUU 355 pada 29 April lalu, hanyalah mempamerkan sikap PAS yang lebih cenderung mengira untung rugi dan air muka partinya sendiri berbanding membela nasib rakyat yang kian terhimpit.