Skip to content

Kenyataan Setiausaha Agung PAS hanyalah helah untuk menutup pembohongan demi pembohongan daripada barisan kepimpinan PAS untuk mengalihkan perhatian umum daripada skandal pemimpin PAS menerima wang daripada UMNO

Setiausaha Agung Parti Islam SeMalaysia (PAS) Dato’ Takiyuddin Hassan telah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS membuat keputusan untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mereka percaya terdapat usaha oleh “dua parti komponen Pakatan Harapan” untuk membentangkan undi tidak percaya terhadap beliau. Ini adalah dakwaan palsu, berunsur fitnah dan pembohongan.

Saya ingin menegaskan bahawa Pakatan Harapan secara keseluruhan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, dan menolak sekeras-kerasnya sebarang andaian yang mengatakan sebaliknya. Tidak ada satu parti komponen PH ataupun mana-mana pemimpin PH yang menyatakan tidak sokong atau mahukan undi tidak percaya ke atas kepimpinan Tun Dr Mahathir baik di dalam atau di luar mesyuarat Majlis Presiden PH. Sebaliknya yang menentang kepimpinan Tun Dr Mahathir tidak lain dan tidak bukan datang daripada PAS sendiri.

Saya harap Dato’ Takiyuddin boleh menunjukkan bukti atas dakwaan yang berniat jahat ini. Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, Dato’ Takiyuddin jelas terbukti tidak bertanggungjawab, tidak bermaruah dan hanya memainkan helah untuk mengelakkan isu sebenar iaitu politik sempit, pembohongan, dan mencipta fitnah semata-mata untuk mengalihkan perhatian umum daripada hakikat bahawa pemimpin PAS menerima wang daripada UMNO.

PAS patut menjawab isu pemimpin PAS menerima wang daripada UMNO sepertimana yang didedahkan oleh Sarawak Report (SR) yang disahihkan benar bila Presiden PAS sendiri telah menarik balik tindakan saman malu beliau terhadap SR, tanpa meminta laporan SR dipadamkan, tanpa memerlukan SR meminta maaf, dan tanpa SR membayar sesen pun kos mahkamah kepada Presiden PAS.

Adalah sangat mendukacitakan untuk melihat yang tinggal dalam perjuangan PAS hari ini hanyalah pembohongan bersiri daripada barisan kepimpinan PAS yang menyusuli skandal menerima wang daripada UMNO.