Kenyataan terbaru Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) merupakan pengakuan bahawa kerajaan sekali lagi telah gagal dalam menguruskan isu industri ayam.
Disebabkan desakan pelbagai pihak, kerajaan sebelum ini telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 sekilo melalui pemberian subsidi berjumlah RM730 juta.
Namun, mengikut kenyataan MAFI bertarikh, sejak harga siling ditetapkan pada Februari 2022, subsidi yang dibayar oleh kerajaan sehingga kini hanya berjumlah RM50 juta. Jumlah ini tidak sampai 10% subsidi yang telah dijanjikan!
Justeru, tidak hairanlah pengusaha tempatan terus menerus mengadu bahawa penetapan harga siling yang tidak berpatutan berbanding kos mereka telah menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.
Malah, kenyataan MAFI telah mengesahkan pendedahan oleh salah seorang pengusaha ternakan ayam tempatan baru-baru ini bahawa kerajaan gagal menghulurkan subsidi yang telah dijanjikan. (Rujukan: https://malaysiadateline.com/hukum-perniagaan-planet-mana-ni-rungut-penternak-ayam-kepada-kerajaan/)
Kegagalan kerajaan menunaikan janji subsidi ayam telah menyebabkan harga ayam tetap mahal walaupun ada harga siling dan bekalan ayam berkurangan sehingga 50% di pasaran. Akhirnya pengusaha tempatan dan pengguna menjadi mangsa kegagalan kerajaan.
Bagi jangka masa pendek, kerajaan harus segera memudahcara serta mempercepatkan penyaluran subsidi kepada sektor industri ayam, dan melaksanakan cadangan DAP untuk mewujudkan Dana Penstabilan Harga Barang sebanyak RM5 bilion bagi berdepan kenaikan harga barang secara amnya yang kini mencecah sehingga 60%.
Pelbagai kajian dan rancangan telah dijalankan sebelum termasuklah pembinaan sebuah kilang phosphate yang besar di Samalaju, Sarawak iaitu Malaysia Phosphate Additives (MPA) Sarawak yang melibatkan pelaburan Khazanah Nasional. Kilang ini sepatutnya dirancang untuk membekalkan baja dan makanan bagi sektor pertanian dan penternakan negara. Namun apa yang berlaku dengan projek dan rancangan ini?
Bagi jangka masa yang lebih lama, isu sekuriti makanan negara harus diberi perhatian serius. Pengalaman pandemik selama 2 tahun seharusnya dijadikan pengajaran untuk memperkukuhkan kedayatahanan negara dalam aspek sekuriti makanan terutama berdepan faktor-faktor global yang tidak menentu.