Pemuda DAPSY Kebangsaan amat terkejut dan kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Sdr. Mohd Amar Nik Abdullah dalam wawancara beliau yang disiarkan oleh laman berita Malaysiakini bertarikh 24 Disember 2014. Beliau bercakap seolah-olah parti PAS menganggap matlamat menawan Putrajaya itu sebagai perkara kedua selepas Hudud.
Malah beliau menambah yang beliau tidak kisah jika PAS dikeluarkan daripada gabungan Pakatan Rakyat demi cita-cita mereka. Kenyataan sebegini sungguh bersifat kebudak-budakan yang tidak menampilkan sifat matang seorang yang berilmu dan berpengalaman.
Kami juga merasakan kenyataan beliau itu mengelirukan dan menyimpang jauh daripada konsensus dan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah dimeterai sejak enam tahun lalu.
Kenyataan beliau mengandungi makna tersirat yang menggambarkan PAS sanggup berpatah arang dengan rakan-rakan dalam PR. Seolah-olah telah hilang pertimbangan waras akibat desakan segelintir kelompok yang cuba menggagalkan usaha PAS bersama rakan-rakan PKR dan DAP untuk mengambil alih kerajaan Barisan Nasional yang korup.
Dalam suasa bencana alam yang khususnya melanda Kelantan serta negeri-negeri di Pantai Timur, seharusnya beliau dan pentadbirannya lebih bertenang dan menumpukan segala usaha, masa dan keupayaan jentera yang ada untuk membantu dan mengurus keperluan, kesihatan, keselamatan dan kebajikan mangsa-mangsa banjir, bukanya galak bercakap tentang sesuatu yang begitu menyimpang daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah kita sepakati.
Sikap yang ditunjukkan oleh Sdr Mohd Amar Nik Abdullah jelas tidak matang dan amat dikesali. Bukan PAS atau DAP yang harus keluar dari Pakatan Rakyat, tetapi mungkin beliaulah orangnya yang patut meninggalkan PAS daripada terus berada di dalam PAS sambil merosakkan hubungan baik sesama rakan-rakan parti gabungan.