Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang(EXCO) pada 12 Jun 2015 secara sebulat suara memutuskan bahawa tindakan mengejut kepimpinan baru PAS menerima usul tanpa bahas agar memutuskan hubungan dengan DAP yang diluluskan dalam Muktamar PAS, dengan sendirinya telahpun memutuskan hubungan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang. Oleh demikian, kepimpinan baru PAS haruslah menyusuli usul mereka yang diterima tanpa bahas, dengan mengarahkan wakil kerajaan PAS mengundurkan diri.
MMK berpandangan apabila Muktamar PAS memutuskan hubungan dengan parti DAP, wakil-wakil kerajaan PAS Pulau Pinang juga telahpun memutuskan hubungan dengan pemimpin kerajaan negeri daripada DAP, khususnya Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha-Agung DAP Lim Guan Eng dan Ahli EXCO Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow. Selama ini kerajaan negeri mempunyai hubungan dan kerjasama baik dengan keahlian biasa PAS Pulau Pinang, tetapi nampaknya dimusuhi oleh kepimpinan baru PAS dan pendokong mereka di sini.
Pendirian yang sama diambil oleh 3 wakil PAS dalam kerajaan PAS, iaitu Mohamad Sabu, Ustaz Mujahid Yusof Rawa dan Ustaz Rosidi Hussain yang meletakkan semua jawatan mereka dalam kerajaan negeri Pulau Pinang. Satu JKKK PAS di Pekan Darat, Seberang Perai juga telah meletakkan jawatan. Mereka rasa adalah patut dan bermaruah untuk mengundurkan diri daripada jawatan kerajaan negeri Pulau Pinang demi menghormati dan menegakkan usul tanpa bahas yang diterima dan diluluskan oleh kepimpinan baru dan Muktamar PAS.
MMK ingin memuji dan menyanjungi pengorbanan ketiga-tiga pemimpin PAS dan JKKK Pekan Darat yang menunjukkan mereka lebih mementingkan maruah parti dan prinsip kerajaan negeri daripada memegang jawatan. Adalah tidak logik kepimpinan baru PAS masih cuba berbelit-belit bahawa mereka masih membincangkan usul memutuskan hubungan dengan DAP, bila usul ini “diterima” tanpa bahas dan “bukan dirujuk” oleh Muktamar PAS. Perlu diingati bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang masih stabil dan tidak terjejas tanpa pesertaan atau penglibatan wakil PAS.
MMK mengingatkan kepimpinan baru PAS bahawa wakil PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dilantik atas kesudian bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan negeri dan berikrar dengan setia akan menerima arahan serta melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri. Keputusan memutuskan hubungan dengan DAP akan menyentuh prinsip ini yang mempunyai impak terbesar ke atas empat wakil PAS yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai. Ini disebabkan mereka akan terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan juga Ahli EXCO Kerajaan Tempatan Chow Kon Yeow.
Oleh kerana kerajaan negeri memegang prinsip tata kelola atau urustadbir kerajaan baik ini, barulah Pulau Pinang dapat menikmati kemajuan dan kemakmuran. Hanya pemimpin kerajaan negeri yang tidak memahami prinsip ini akan menyebabkan negeri yang dipimpin mereka terus mundur dan ketinggalan zaman.