Skip to content

Keputusan Ganti Rugi bagi Kes Banjir Lembah Bertam, Cameron Highlands Diputuskan Hari Ini

Ho Chi Yang: Kes Mercu Tanda bagi Memperkukuh Akauntabiliti Pengurusan Empangan dan Infrastruktur Awam

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanah Rata (DAP), Ho Chi Yang, hari ini bersama dengan anggota Jawatankuasa Bantuan Bencana Lembah Bertam dan mangsa banjir, diiringi peguam Encik Manogaran Marimuthu, hadir di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mendengar keputusan berhubung taksiran ganti rugi bagi kes Banjir Lembah Bertam.

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa kes ini melibatkan tiga kategori pampasan, iaitu ganti rugi khas (Special Damages) yang ditentukan berdasarkan kerugian yang dialami oleh setiap plaintif, ganti rugi am (General Damages) secara bayaran sekali gus sebanyak RM30,000 kepada setiap plaintif, serta ganti rugi teladan (Exemplary Damages) secara bayaran sekali gus sebanyak RM10,000 kepada setiap plaintif. Jumlah keseluruhan pampasan adalah sebanyak RM4,742,459.76.

Ho Chi Yang berkata, keputusan ini bukan sahaja merupakan penantian panjang yang akhirnya terjawab bagi para mangsa, malah melambangkan keadilan yang walaupun lewat, akhirnya ditegakkan.

Tiga Belas Tahun Selepas Banjir, Mangsa Akhirnya Menerima Pampasan Sewajarnya

Banjir Lembah Bertam berlaku pada tahun 2013 dan kini telah memasuki tahun ketiga belas, namun penantian mangsa terhadap keadilan dan pembelaan tidak pernah terhenti.

Kes ini melibatkan Empangan Sultan Abu Bakar di Lembah Bertam yang diuruskan oleh TNB. Pada 23 Oktober 2013, empangan tersebut telah melepaskan air sebanyak tiga kali, mengakibatkan banjir besar yang menenggelami kawasan hilir Lembah Bertam. Kejadian ini bukan sahaja meragut beberapa nyawa, malah menyebabkan mangsa mengalami kerugian besar dari segi kewangan dan kehidupan.

Pada tahun 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa TNB telah cuai dan perlu membayar pampasan kepada mangsa. Pada tahun 2019, Mahkamah Persekutuan menolak semua rayuan dan keputusan tersebut menjadi muktamad. Selepas itu, jawatankuasa menghadiri prosiding taksiran ganti rugi untuk beberapa tahun. Akhirnya, keputusan hari ini menamatkan pertikaian undang-undang yang berlarutan selama tiga belas tahun ini.

Ho Chi Yang menegaskan bahawa sepanjang proses kehakiman yang panjang ini, para mangsa telah menanggung tekanan fizikal dan emosi yang amat berat. Lebih menyedihkan, beberapa orang mangsa telah meninggal dunia sebelum sempat menerima keputusan pampasan yang sewajarnya.

“Keadilan akhirnya akan tiba, namun keadilan yang lewat telah menyebabkan rakyat menanggung penderitaan yang berpanjangan. Pampasan ini sudah tentu dapat membantu mangsa membina semula kehidupan dan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung selama ini. Namun yang lebih penting, ia membawa mesej yang jelas bahawa keadilan telah ditegakkan dan tanggungjawab tidak boleh dielakkan.

Saya juga berharap, selepas jumlah pampasan ini diputuskan secara rasmi, TNB dapat mempercepatkan proses pentadbiran dan pelaksanaan seterusnya, agar mangsa tidak lagi melalui penantian dan penderitaan yang berulang. Mangsa telah menanggung penderitaan selama tiga belas tahun, dan sebarang kelewatan yang tidak perlu hanya akan mencemarkan makna keadilan yang akhirnya ditegakkan.”

Walaupun mengikut prosedur kehakiman TNB masih mempunyai ruang untuk merayu terhadap jumlah pampasan tersebut, Ho Chi Yang menggesa TNB sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang besar agar berperikemanusiaan, memahami penderitaan mangsa yang telah menunggu bertahun-tahun, dan memperceparkan segala proses membayar ganti rugi.

“Sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang besar, TNB bukan sahaja perlu menitikberatkan keuntungan, tetapi juga memikul tanggungjawab sosial korporat dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat. Memandangkan mahkamah telah lama memutuskan kemenangan berpihak kepada mangsa dan kini jumlah pampasan juga telah ditentukan, saya menggesa TNB agar menunjukkan keikhlasan dan keprihatinan dengan menghormati mangsa serta keputusan mahkamah demi menoktahkan kes ini dengan sepenuhnya.”

Kes Mercu Tanda yang Memperkukuh Tanggungjawab Pengurusan Empangan dan Infrastruktur Awam

Ho Chi Yang menegaskan bahawa Kes Banjir Lembah Bertam dilihat sebagai satu kes mercu tanda yang mempunyai implikasi yang signifikan. Pengurusan empangan bukan sekadar isu pentadbiran atau teknikal, sebaliknya merupakan tanggungjawab awam yang besar kerana ia melibatkan keselamatan nyawa rakyat.

“Sebarang kecuaian dalam pengendalian infrastruktur awam berisiko menyebabkan kehilangan harta dan nyawa. Kes ini menjadi peringatan jelas bahawa sistem tidak boleh hanya diteliti selepas tragedi berlaku. Oleh itu, saya menyeru agar seluruh jabatan kerajaan dan GLC mengambil iktibar daripada kes ini dan meneliti secara serius untuk mengambil langkah proakrif, termasuk penggubalan undang-undang, bagi memperkukuh mekanisme pengawasan dan akauntabiliti terhadap pengurusan empangan serta infrastruktur awam lain. Usaha ini adalah untuk menjamin tanggungjawab jelas, pemantauan berkesan, serta mencegah tragedi seumpama ini daripada berulang demi melindungi nyawa dan harta rakyat.”

Menghargai Jasa Peguam Wakil, DAP Sentiasa Bersama Rakyat

Ho Chi Yang turut merakamkan penghargaan kepada peguam wakil merangkap Timbalan Pengerusi DAP Pahang, Encik Manogaran Marimuthu, atas komitmen dan ketekunan profesional beliau selama bertahun-tahun dalam mengiringi serta membantu mangsa sehingga ke tahap ini.

“Tidak kira berapa lama sesuatu kes itu mengambil masa dan betapa sukarnya proses yang dilalui, DAP sentiasa berdiri bersama rakyat dan mempertahankan hak mereka yang sewajarnya. Kes ini bukan sekadar penamat kepada satu tuntutan individu, malah harus menjadi titik permulaan kepada reformasi institusi dan pengukuhan keselamatan awam.”