Skip to content

Keputusan menamakan jalan sempena mantan-mantan Yang Dipertuan Agong adalah keputusan yang baik, tapi…

Ada dua cerita di sebalik penamaan semula lapan batang jalanraya di sekitar Ibu Kota Kuala Lumpur. Cerita pertama dari mulut Datuk Dr Loga Bala Mohan menyatakan bahawa keputusan menamakan semula jalan-jalan ini adalah berikutan permintaan Majlis Raja-raja.

Cerita kedua pula menyatakan sebaliknya. Bahawa idea menukar nama jalan-jalan utama ini bukanlah datang daripada Majlis Raja-raja, tetapi sebaliknya datang daripada Kementerian Wilayah Persekutuan. Sumber cerita yang ini pula datang daripada Menteri sendiri, Tengku Adnan Mansor. Berbanding cerita yang pertama tadi yang bersumberkan timbalan beliau.

Loga Bala juga tidak pasti sama ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ada mendapatkan maklum-balas daripada orang ramai sebelum menjalankan penukaran nama ini.

Keputusan untuk menukar nama jalan sempena mantan-mantan Yang Dipertuan Agong adalah keputusan yang baik, demi mengingatkan orang ramai tentang jasa-jasa dan legasi mereka. Tetapi adalah lebih baik sekiranya hal ini dilakukan terhadap jalan-jalan baru, memandangkan terdapat banyak pembangunan baru di Kuala Lumpur; serta supaya tidak timbul kekeliruan dan pertambahan kos untuk menukar nama jalan-jalan yang lama wujud.

Atau lebih baik lagi, saya cadangkan supaya dinamakan semula lapan daripada sekitar 30 lebuhraya di negara ini (Sprint, SUKE, DUKE dan sebagainya) demi memperingati mantan-mantan Yang Dipertuan Agong, jika benar Kabinet begitu serius tentang perkara ini. Kuranglah sedikit kekeliruan memandangkan tidak ada banyak kawasan perumahan atau bangunan pejabat di tepi lebuhraya.

Di samping itu saya juga ingin tahu kenapa Menteri Wilayah Persekutuan harus mengambil masa sehingga empat hari untuk memberi pencerahan tentang pengumuman yang diberikan oleh timbalannya? Kenyataan timbalannya itu pula bukanlah dilaporkan oleh laman berita alternatif, tetapi oleh The Star dan juga banyak saluran berita arus perdana.

Melihat kepada respon negatif dan sambutan kurang baik daripada orang ramai seperti yang dilaporkan media, saya mengalu-alukan jika Kabinet memutuskan untuk mempertimbangkan semula keputusan rancangan ini.