Skip to content

Keputusan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP

Jawatankuasa Tertinggi Pusat (JTP) DAP dalam mesyuaratnya semalam telah sebulat suara memutuskan seperti berikut:-

  • Di Persidangan Kebangsaan DAP pada hari Ahad 14 Disember 2014 bertempat di One City Convention Hall, USJ, Selangor, JTP akan mengemukakan beberapa usul bagi meminda Perlembagaan Parti termasuk mengkhaskan kuota bersejarah sebanyak 30% daripada jawatan JTP untuk diisi oleh wanita. Ini adalah usaha bersepadu oleh DAP untuk menggalakkan lebih ramai wanita menyertai DAP, serta menunjukkan komitmen kami untuk menambah bilangan pemimpin wanita di Malaysia, terutamanya keterlibatan pemimpin wanita muda.
  • Pakatan Rakyat mesti mengembalikan semula kepercayaan dan keyakinan pengundi, terutamanya golongan Malaysia Pertengahan, dengan menepati janji dan melaksanakan komitmennya terhadap prinsip-prinsip urus tadbir yang baik, keadilan, kebebasan dan demokrasi. JTP memohon Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat demi menjadikan Pakatan Rakyat lebih bersemangat kerana Pakatan Rakyat adalah gabungan kesemua tiga parti PAS, PKR dan DAP. Memandangkan Datuk Seri Abdul Hadi merupakan satu-satunya pemimpin yang boleh membuat keputusan dalam PAS dan justeru perlu hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, DAP akan menanti sehinggalah beliau berkelapangan untuk hadir, sebelum turut hadir ke mesyuarat tersebut.
  • Kesemua pimpinan DAP hendaklah mengambil langkah lanjutan terhadap pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2013 untuk menujukkan betapa teruknya pembaziran, ketidakcekapan malah salah laku yang telah mengakibatkan kerugian besar terhadap wang rakyat, sehinggakan orang yang sudah meninggal dunia pun masih menerima bayaran, dan mereka yang menipu kerajaan sebanyak RM1 juta boleh terlepas bebas.
  • JTP DAP mengucapkan takziah kepada mangsa tragedi tanah runtuh di Cameron Highlands yang telah mengakibatkan lima nyawa terkorban, serta menggesa Kerajaan Persekutuan untuk bukan sahaja mengambil langkah pemulihan tetapi juga mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab, termasuk penjawat awam dan para pemimpin, yang secara langsung atau tidak menyumbang dan menyebabkan tragedi ini berlaku.