Keputusan PAS memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR telah diumumkan secara rasmi oleh Majlis Syuro Ulama sebentar tadi. Rujuk https://m.malaysiakini.com/news/381914
Keputusan tersebut antaranya bersandarkan hujah PKR tidak menyokong – malah menentang – sebahagian daripada agenda Islam dibawa PAS.
Bagi saya, ini adalah satu tuduhan yang cukup berat. Nampaknya bukan sekadar DAP sahaja yang menjadi mangsa labelan PAS kononnya menentang Islam, rupanya PKR juga dihukum hal yang sama.
Pun begitu, apa yang menarik perhatian saya juga ialah, judgment berbeza PAS terhadap situasi kerjasama parti itu dengan PKR di Selangor.
Menggunakan istilah ‘maslahah’ sebagai alasan, pendirian PAS terhadap kedudukan perjawatan ADUN-ADUN mereka dalam Kerajaan Negeri Selangor contohnya bagi yang memegang portfolio sebagai exco, tidak pula setuntas pembatalan tahaluf siyasi yang diumumkan MSU. Rujuk https://m.malaysiakini.com/news/381934
Hal ini membenarkan kenyataan yang pernah saya lontarkan pada 1 Mei lalu bahawa ‘Tuhan bukanlah sekala-galanya bagi PAS saat bertembung soal kuasa’. Rujuk http://m.malaysiakini.com/news/380827
Bahkan dengan menggunakan hujah apa sekalipun, sukar bagi PAS untuk berundur setelah merasai nikmat berada ditampuk kuasa. Masakan PAS mahu lepaskan jawatan-jawatan mereka dalam Kerajaan Negeri? Tidak mungkin.
PAS tidak peduli semua ini biarpun bakal digelar ‘muka tak malu’, ibarat ‘sudah ditalak, tapi masih mahu duduk serumah’!
Dari satu sisi lain, sekarang bola terletak di kaki Pakatan Harapan khususnya PKR untuk menilai dan membuat keputusan. Lebih tepat, Datuk Seri Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor.
Bagi saya, usaha PAS mencucuk hidung Azmin bakal kita saksikan dalam percaturan parti itu memposisikan diri mereka sebagai kingmaker menjelang PRU ke-14 yang kian hampir.