Skip to content

Keputusan pilihan raya di enam negeri yang saya ingin lihat

Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Kelantan, dan Terengganu telah dibubarkan dan Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan pula akan dibubarkan pada hari Jumaat – menyediakan pentas untuk enam pilihan raya negeri pada bulan ogos yang akan mempunyai impak yang meluas kepada negara kita.

Saya telah katakan yang keputusan enam pilihan raya negeri ini tidak akan menyebabkan kerajaan perpaduan Anwar untuk tumbang di peringkat Persekutuan memandangkan tidak ada undi tidak percaya yang akan berlangsung di Parlimen kerana Ahli-ahli Parlimen tidak lagi boleh menukar parti mereka.

Tetapi keputusan enam pilihan raya negeri ini akan menentukan sama ada Malaysia boleh diselamatkan, ditetapkan semula hala tujunya, dan dikembalikan kepada prinsip-prinsip asal pembinaan negara majmuk yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden UMNO, iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein Onn) ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

Malaysia memerlukan mungkin sepuluh ke dua puluh tahun untuk menghentikan kemerosotan negara yang disaksikan dalam beberapa dekad yang lepas untuk menjadi juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Kita telah melakukan permulaan yang baik dengan tujuh bulan di bawah kerajaan perpaduan Anwar.

Adakah rakyat Malaysia akan mengabaikan usaha patriotik untuk menyelamatkan, menetapkan semula, dan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asal pembinaan negara majmuk atau adakah kita akan melihat Malaysia kembali ke arah menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup dalam dekad-dekad yang akan datang?

Keputusan pilihan raya negeri yang saya ingin saksikan adalah sama ada status quo, di mana gabungan PH-BN membentuk kerajaan di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, dan Perikatan Nasional terus memerintah Kedah, Kelantan, dan Terengganu, atau lebih baik lagi, gabungan PH-BN memenangi dengan majoriti dua pertiga di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dan menunjukkan prestasi yang lebih di Kedah, Kelantan, dan Terengganu berbanding dengan pilihan raya umum 2018.

Rakyat Malaysia tidak mahu menjadi “juara dunia” dalam kalangan negara dengan jumlah kematian akibat Covid-19 yang tertinggi di dunia seperti mana ketika kita berhadapan dengan wabak Covid-19 semasa Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pada tahun 2021, sebaliknya kita mahu menjadi juara Piala Thomas, memenangi acara Olimpik, anugerah Oscar, malah, Anugerah Nobel.

Saya tidak percaya yang pengundi di Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, umur, atau jantina, mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup sebaliknya mereka mahu melihat Malaysia menjadi juara dunia dengan sistem politik, ekonomi, pendidikan, dan sosial yang terbaik di dunia, dan juga sekolah dan universiti terbaik di dunia.

Kerana inilah rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, umur, atau jantina, perlu keluar mengundi dengan kadar keluar mengundi yang lebih tinggi berbanding dengan pilihan raya umum 2018 untuk menyuarakan pilihan mereka untuk menyelamatkan Malaysia dengan jelas, supaya negara kita dapat menjadi juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya dan tamadun kepada dunia.

Semua rakyat Malaysia mahu melihat Malaysia mencapai lebih dari apa dijangkakan dan bukannya Malaysia menjadi sebuah negara yang tidak relevan dan tidak penting kerana kegagalannya sebagai sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup.

Saya mahu melihat Kelantan, Terengganu, dan Kedah menjadi negeri maju seperti Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan.

Perkara ini tidak akan berlaku semalaman, sebaliknya ia akan mengambil masa selama satu atau dua dekad, tetapi kita perlu bermula.

Adakah permulaan ini akan dibuat dengan enam pilihan raya umum pada bulan Ogos ini?