Selepas saya membangkitkan isu kelewatan dalam pelaksanaan diesel Euro 4 dan kehilangan nyawa daripada asap toksik diesel Euro 2 dengan kandungan sulfurnya yang tinggi (500 ppm), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata kerajaan telah memutuskan jadual baru untuk memperkenalkan:- (Hansard 05/11/2014 muka 118)
- Euro 4 RON 97 pada September 2015,
- Euro 4 RON 95 pada bulan Oktober 2018, dan
- Euro 5 diesel pada tahun 2020
YB Menteri telah mengakui hakikat bahawa kita terkebelakang dalam pelaksanaan diesel Euro 4 yang kandungan sulfurnya 50 ppm. Negara-negara jiran kita telah menerima pakai amalan terbaik untuk mengurangkan pelepasan asap toksik bersama-sama dengan banyak negara di dunia yang sudah melaksanakan bahan api Euro 4 dan Euro 5, tetapi kita masih belum lagi. Masalah ini dikaitkan dengan pelaburan yang besar yang diperlukan oleh syarikat-syarikat minyak untuk menggantikan Euro 2 dengan Euro 4.
Saya amat lega apabila YB Menteri bersetuju bahawa “kita terkebelakang dalam melaksanakan amalan terbaik” ini. Walau bagaimanapun, saya terkejut besar dengan kelewatan pelaksanaannya yang telah diumumkan. Pada tahun 2011 telah diumumkan bahawa Malaysia akan melaksanakan diesel Euro 4 menjelang tahun 2012. Kemudian pelaksanaannya ditangguhkan hingga ke 2014, dan kemudian ke tahun 2015. Terkini, pelaksanaan Euro 4 ditinggalkan sahaja dan sebagai gantinya diesel Euro 5 dijadualkan pada tahun 2020. Dan kerajaan bersedia dengan pelbagai alasan untuk syarikat-syarikat minyak berkenaan. Sejak bilakah menteri menjadi jurucakap bagi pihak syarikat-syarikat minyak? Apakah kerajaan mengabaikan kesihatan rakyat dalam merangka dasar-dasar?
Syarikat minyak BHP telah mengumumkan pada Jun 2014 bahawa mereka akan memperkenalkan diesel Euro 5 di stesen-stesen mereka di Johor Bharu pada bulan Julai berikut. Selepas sedikit kelewatan, ia telah dilancarkan secara rasmi pada 12 November 2014 oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Hasan Malek. Ia kini boleh didapati di stesen BHP di Johor Bharu. Harga hanya RM2.30 seliter, iaitu sama dengan harga petrol RON95.
Pada 1 April 2010, India melancarkan petrol dan diesel Euro 4 di bandar-bandar besarnya dan bahan api Euro 3 bagi semua kawasan lain di negara itu. Pada 24 September 2010 , India seterusnya mengumumkan bahawa ia telah benar-benar beralih kepada petrol dan diesel yang lebih bersih, iaitu Euro 3 dan Euro 4 dalam jangka masa 6 bulan lebih awal daripada dijadualkan. Harga diesel Euro 4 telah hanya meningkat sebanyak Rs 0.26 (1 sen) seliter. Kos untuk peningkatan ke Euro 5 bahan api akan ditampung oleh levi Rs 0.75 (4 sen) seliter. Kos menaik taraf kilang penapis untuk menghasilkan bahan api Euro 5 adalah Rs 800 bilion (RM42 bilion). Jumlah kos untuk membawa masuk diesel Euro 5 di India adalah hanya 5 sen seliter.
Di Malaysia, separuh daripada dieselnya diimport namakali bakinya ditapis dalam negara kita. Kita tahu kos menaik taraf kilang-kilang penapis minyak melibatkan berbilion ringgit. Walau bagaimanapun, diesel Euro 5 yang diimport sepenuhnya oleh BHP hanya melibatkan kos tambahan 10 sen bagi setiap liter. India berjaya melaksanakan bahan api Euro 5 standard dengan penambahan kos sebanyak 5 sen seliter sahaja dengan menaik taraf kilang penapisan mereka sendiri. Mengapakah Malaysia tidak boleh melakukannya sebelum tahun 2020? Kerajaan telah menaikkan harga diesel sebanyak 40 sen sejak 2013 tanpa teragak-agak. Sekarang timbul pula alasan syarikat-syarikat minyak tidak mampu untuk menaik taraf kilang penapisan mereka!
Di China, bahan api setaraf Euro 5 sudah diwajibkan di Beijing manakala Euro 4 mandatori di seluruh negara pada tahun 2014. Ini adalah kerana mereka mendapati penggunaan bahan api berkualiti rendah dengan kandungan sulfur yang tinggi menjadi penyumbang utama kepada pencemaran udara. Ia juga tidak baik untuk enjin kereta dan kesihatan rakyat jelata. Pada December 2012, di Filipina pula syarikat Unioil telah memperkenalkan diesel Euro 4 menggantikan diesel Euro 2 sebelumnya dengan menyerapkan kos terlibat demi mengekalkan harga yang sama!
Seluruh dunia telah bergerak ke hadapan sementara kita menangguhkan dan terus menangguhkan lagi untuk menyimpan wang untuk mengisi akaun besar konglomerat minyak . Jadi, daripada memberi alasan sahaja;-
- saya menggesa YB Menteri dan kerajaan untuk mula melaksanakan tahap diesel bersih pada tahun hadapan seperti yang dijadualkan dengan mengimport hanya diesel Euro 4 dan Euro 5.
- Menteri perlu memastikan pelepasan asap yang rendah dan penggunaan diesel Euro 5 mandatori di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang kerap berkabut dengan asap dan jerebu, dan
- bas dan kenderaan pengangkutan awam yang diimport mestilah mematuhi tahap pelepasan asap yang rendah
Dengan diesel yang bersih, bas, teksi dan orang ramai sudah boleh mula beralih kepada kenderaan diesel generasi baru tanpa keraguan. Syarikat-syarikat minyak tidak boleh lagi berlindung di belakang macam-macam alasan kerana Filipina telah melakukan peralihan tanpa sebarang kos tambahan kepada pengguna. Kerajaan perlu bertindak secepat mungkin untuk melindungi kesihatan kita dan keluarga kita. Jangan kita mati akibat diesel kotor sebelum tahun 2020.