Skip to content

Kerajaan ambil langkah mudah kerana mahu elak pemantauan?

Ahli-ahli parlimen telah menerima surat daripada setiausaha Dewan Rakyat semalam.

Kami dimaklumkan bahawa mesyuarat Dewan Rakyat yang akan datang pada 18 Mei 2020 akan berlangsung untuk satu hari sahaja. Tambahan lagi, ahli-ahli parlimen tidak dibenarkan mengemukakan sebarang soalan kepada kerajaan atau membentangkan usul untuk perbahasan.

Keputusan sedemikian adalah bertentangan dengan amalan demokrasi. Kesannya ialah kerajaan yang baharu ini tidak tertakluk kepada sebarang pemantauan formal.

Saya telah bercadang untuk membangkitkan beberapa isu penting dalam sesi parlimen yang akan datang, seperti masalah berkaitan dengan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), perolehan PPE untuk hospital, dan peruntukan bantuan makanan.

Isu-isu ini dibangkitkan setiap hari oleh penduduk di kawasan saya, tetapi nampaknya isu-isu ini tidak akan terjawab oleh kerajaan di parlimen nanti.

Saya maklum tentang kebimbangan terhadap situasi Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kesihatan awam sememangnya perlu diutamakan.

Akan tetapi, kerajaan tidak harus mengambil langkah mudah sebegini. Pertamanya, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada parlimen hanya boleh bersidang untuk satu hari kerana PKP mungkin akan berakhir sebelum itu.

Yang lebih penting lagi, kerajaan dan parlimen sepatutnya lebih proaktif untuk meneroka cara-cara lain untuk kekal berfungsi. Beberapa kemungkinan termasuklah:

1. Sidang online

Parlimen perlu melihat kepada penggunaan teknologi untuk mengadakan persidangan secara online. Jika ini tidak praktikal di peringkat Dewan Rakyat, ia masih boleh dilaksanakan untuk Kamar Khas atau mesyuarat jawatankuasa-jawatankuasa terpilih.

Perkara ini mungkin memerlukan pindaan peraturan atau kelulusan usul. Semua ini boleh dilakukan pada hari pertama siding parlimen.

2. Jawapan bertulis

Di bawah Peraturan Mesyuarat, ahli-ahli parlimen berhak mengemukakan 10 soalan untuk dijawab secara lisan dan 5 soalan untuk dijawab secara bertulis. Keputusan untuk tidak membenarkan sebarang soalan adalah tidak munasabah.

Sebaliknya, ahli-ahli parlimen sepatutnya diberi peluang mengemukakan soalan-soalan dan para Menteri boleh menjawab secara bertulis. Ini melibatkan “zero contact” dan kita sekurang-kurangnya boleh mendapat penjelasan mengenai isu-isu penting.

3. Pembentangan laporan

Ahli-ahli parlimen biasanya akan menerima pelbagai laporan semasa sidang parlimen, contohnya laporan Ketua Audit Negara.

Laporan-laporan sebegini sepatutnya masih dihantar kepada ahli parlimen, dan ia boleh dilakukan dengan mudah melalui website parlimen. Kerajaan juga boleh mengemukakan laporan-laporan khas atau kertas putih mengenai situasi Covid-19 atau pakej ransangan ekonomi.

Cadangan-cadangan yang dikemukakan ini bukanlah luar biasa. Kerajaan boleh melaksanakannya dengan mudah jika mereka mempunya iltizam untuk berbuat sedemikian. Fokus utamanya adalah untuk memastikan ketelusan, semak dan imbang, dan akauntabiliti.

Sebaliknya, kerajaan membuat keputusan untuk mengadakan sidang parlimen selama satu hari sahaja, Ini menunjukkan bahawa kerajaan baharu ini lebih cenderung untuk mengelakkan diri daripada pemantauan. Sebagaimana yang Perdana Menteri sendiri telah berkata, kerajaan ini “is not the government you voted for”.