Skip to content

Kerajaan BN/PN tiada hak untuk menaikkan denda kompaun kepada RM1 juta bagi syarikat dan RM10,000 bagi individu apabila menteri terus mengamalkan amalan dua darjat dengan melanggar SOP COVID-19 secara terbuka

Parti-parti pemerintah yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Johor bercakap mengenai kestabilan politik tetapi secara terbuka menyerang satu sama lain sebagai korup dan tidak layak untuk memerintah. Sementara itu masalah rakyat dilupakan dan sebaliknya dengan mudah dipersalahkan atas pandemik COVID-19. Ini adalah tujuan sebenar bagi pindaan yang dicadangkan kerajaan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dengan meningkatkan kompaun denda bagi syarikat kepada RM1 juta dan RM10,000 bagi individu yang gagal mematuhi SOP COVID-19.

Kerajaan BN/PN yang korup, menurut pemimpin mereka sendiri, tidak berhak untuk mengenakan kenaikan sedemikian apabila Menteri mereka sendiri secara berterusan mengamalkan amalan dua darjat dengan secara terbuka melanggar SOP COVID-19 yang mereka sendiri perkenalkan. Kita ada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi salam penumbuk, Perdana Menteri Ismail Sabri, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, penyandang Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan Presiden MIC S Vigneswaran ditangkap bergaul rapat dengan sekumpulan ahli politik tanpa penjarakan sosial.

Insiden terbaru dua hari lalu membabitkan orang ramai yang menari secara ganas melibatkan lompat-melompat dan laga-melaga dengan penari lain tanpa penjarakan sosial di konsert muzik rock di Air Hitam, Johor. Konsert muzik rock itu dikaitkan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan dihadiri oleh Menterinya Annuar Musa.

Bukan setiap rakyat Malaysia biasa kaya seperti Menteri yang mampu membayar denda RM10,000 yang dinaikkan dan setiap syarikat boleh bertahan seperti Kementerian Kerajaan apabila dikenakan denda kompaun RM1 juta. Kerajaan harus menanggung kegagalan COVID-19 mereka dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas ketidakcekapan mereka, menunjukkan belas kasihan kepada mangsa COVID-19 dan menguruskan peralihan pandemik menjadi endemik dengan berkesan dalam menerima realiti bahawa masyarakat terpaksa hidup dengan COVID-19.

Penalti yang keras dan denda kompaun seperti itu boleh dikuatkuasakan sesuka hati dengan cadangan pemberian kuasa mutlak dan tanpa batasan yang diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, yang tidak boleh dipersoalkan atau dicabar di bawah cadangan pindaan yang sama. PH dan DAP telah mengambil pendirian tegas menentang dan mengundi menolak cadangan pindaan sedemikian di Parlimen kerana kuasa mutlak yang diberikan kepada penguatkuasaan dan hukuman serta denda kompaun yang berat dikenakan.

Terdapat dua sebab utama mengapa pindaan ini tidak sepatutnya diluluskan. Pertama, ini adalah percubaan tidak jujur oleh kerajaan untuk menyalahkan rakyat untuk mengelak tanggungjawab ke atas kegagalan mereka menguruskan wabak COVID-19 yang telah menyebabkan lebih 3.6 juta jangkitan dan hampir 33,300 kematian. Kedua, hukuman yang berat boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat biasa dan kelangsungan hidup perniagaan kecil yang tidak mampu membayar penalti dan denda kompaun yang berat serta membebankan.

Penalti yang keras dan kuasa mutlak yang diberikan kepada pegawai penguatkuasa juga terdedah kepada penyalahgunaan dan amalan rasuah yang akan meletakkan halangan tambahan kepada pemulihan penuh ekonomi. Demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, perlu ada pendekatan keseluruhan kerajaan dan bukannya menyalahkan atau menjadikan rakyat sebagai punca pandemik COVID-19.

Kerajaan Persekutuan begitu licik dan penuh helah dalam mengatur masa perbahasan dan meluluskan cadangan pindaan selepas 12 Mac apabila Pilihan Raya (PRN) Johor berakhir. Jelas sekali pindaan itu dirancang untuk diluluskan selepas PRN Johor, bagi mengelakkan kontroversi dan kesan buruk itu terhadap undian. BN termasuk UMNO, MCA dan MIC perlu tampil memberi penjelasan terhadap sokongan mereka kepada cadangan pindaan ini yang bertentangan dengan kepentingan rakyat.