Skip to content

KERAJAAN DIGESA MEMPERCEPATKAN PELAKSANAAN BIODIESEL B20 DENGAN SEGERA MENGHIDUPKAN SEMULA PEMBINAAN DEPOT BAGI MENANGANI KRISIS HARGA BAHAN API

Saya menggesa kerajaan untuk segera mempercepatkan pelaksanaan biodiesel sawit B20 bagi menangani kenaikan mendadak harga bahan api di seluruh negara, memandangkan lonjakan drastik harga diesel dan petrol kebelakangan ini telah memberi tekanan yang amat besar kepada rakyat serta industri tempatan.

Ketika harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia mencecah RM5.52 seliter minggu ini, pelaksanaan biodiesel B20 bukan lagi sekadar matlamat alam sekitar, malah kini menjadi satu instrumen ekonomi yang kritikal untuk menyediakan alternatif tempatan yang lebih stabil, sekali gus melindungi ekonomi negara daripada ketidaktentuan melampau pasaran minyak mentah global.

Program biodiesel B20 bagi sektor pengangkutan telah dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, bersama Menteri Industri Utama pada 20 Februari 2020.

Pelaksanaan ini sebenarnya telah bermula lebih awal di Langkawi pada 1 Januari 2020 dan di Labuan pada 15 Januari 2020 sebelum pelancaran rasmi di peringkat nasional pada bulan Februari 2020. Ia pada asalnya dijadualkan untuk diperluaskan ke Sarawak pada April 2020, Sabah pada Ogos 2020, dan Semenanjung Malaysia menjelang Jun 2021.

Namun, kerajaan telah berulang kali menangguhkan pelaksanaan tersebut. Hari ini, seluruh negara berdepan krisis kos sara hidup yang dipacu oleh harga bahan api kerana kekurangan keazaman politik untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import yang mahal.

Saya menyeru Kementerian Kewangan (MOF) untuk segera menilai semula dan mempercepatkan perancangan pembiayaan serta pembinaan depot pencampuran biodiesel B20.

MOF perlu segera mengkaji semula projek pembinaan depot yang tergendala di seluruh Semenanjung Malaysia, di Bintulu serta di Sabah. Tanpa depot-depot ini, kita tidak dapat mencampurkan minyak sawit ke dalam bekalan bahan api secara besar-besaran. Kelewatan kerajaan untuk melabur dalam infrastruktur ini adalah punca kita terpaksa menanggung beban harga tinggi hari ini.

Walaupun harga diesel konvensional berubah-ubah mengikut ketidaktentuan harga minyak mentah global. Palm Methyl Ester (PME) menawarkan alternatif domestik yang menyokong pekebun tempatan.

Dengan menggantikan 20% diesel import kepada biodiesel sawit tempatan, Malaysia berpotensi mengurangkan bil import bahan api secara ketara serta menyediakan penampan terhadap lonjakan harga semasa.

Setiap liter minyak sawit yang kita campurkan bermakna satu liter diesel import yang mahal tidak perlu dibeli.

Saya menggesa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan supaya tidak lagi berlengah. Hidupkan semula projek depot B20 di Semenanjung Malaysia, Bintulu dan Sabah dengan segera. Biarlah ‘tanaman emas’ negara melindungi poket rakyat Malaysia daripada krisis tenaga global.