Saya menggesa Kerajaan negeri Johor memantapkan proses permohonan dan pengedaran Bantuan Ihsan Johor yang melibatkan pengendalian data peribadi yang sensitif terutamanya maklumat kewangan peribadi dan akaun bank pada masa yang sama meningkatkan elemen keselamatan sistem e-Ihsan yang digunakan untuk mendaftarkan bantuan yang diterima oleh rakyat Johor.
Saya mengalu-alukan inisiatif kerajaan Johor yang menghulurkan bantuan kepada golongan yang terjejas dalam penularan Covid-19 kerana masih ramai yang tercicir daripada bantuan yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan.
Bagaimana pun, kerajaan Johor harus memperbaiki sistem pengurusan data digital serta mengutumakan isu keselamatan data peribadi dalam proses yang berkaitan. Saya dapati sistem yang sedia ada mempunyai kelemahan yang ketara di mana terlalu banyak saluran permohonan dibuka seperti pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan dan ahli dewan negeri. Keadaan yang tidak terkawal sedemikian mengundang risiko yang besar terhadap keselamatan data peribadi ribuan pemohon di kalangan rakyat negeri Johor.
Keadaan ini bertambah rumit lagi dan boleh menjadi hilang kawalan apabila kuasa politik turut masuk campur tangan dalam proses yang berkaitan. Sebagai contoh wakil parti politik MCA kini terlibat dalam proses pengumpulan borang permohonan dan dibenarkan untuk mengakses maklumat peribadi para pemohon. Tanpa kawalan SOP yang ketat, ini mendedahkan data peribadi yang sensitif termasuk maklumat akaun bank ribuan pemohon kepada risiko penyalahgunaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Risiko sedemikian boleh dan patut dikurangkan dengan memperbaiki cara pengurusan data e-Ihsan, membuat SOP yang ketat, dan mengelakkan campur tangan unsur politik kepartian dalam proses permohonan.
Apabila cuba mengakses sistem e-Ihsan kami mendapati percubaan untuk masuk ke pautan yang diberikan itu dihalang oleh browser yang digunakan atas sebab tidak mendapat pensijilan keselamatan. Mengikut mesej yang tertera di paparan saya berasa bimbang tentang tahap keselamatan laman ini ada risiko untuk diserang dan maklumat yang cuba dihantar mungkin akan dicuri oleh hacker atau pihak yang tidak bertanggungjawab dalam proses penghantaran. Saya berharap pihak kerajaan dapat mengambil berat berkenaan isu ini dan mengambil langkah untuk meningkatkan elemen keselamatan sistem e-Ihsan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang mengundang kepada kebongkaran maklumat peribadi pemohon bantuan Ihsan Johor. Keadaan ini menambahkan kebimbangan pembongkaran maklumat peribadi pemohon.
Umum diketahui sindiket penipuan wang dan penyalahgunaan data peribadi online semakin menjadi-jadi kebalakangan ini. Ramai yang jadi mangsa kerana maklumat peribadi mereka telah ‘dijual’ kepada pihak ketiga. Maka jangan kita pandang remeh isu keselamatan data peribadi.
Saya juga ingin mengingatkan Parti Pemerintah di Johor supaya jangan bawa masuk faktor politik kepartian dalam proses e-Ihsan kerana sudah tentu ia menambah beban kerja penjawat awam yang sememangnya cukup mencabar sepanjang tempoh PKP.
Tumpukanlah tenaga semua pihak supaya proses permohonan e-Ihsan dapat dimantapkan tanpa risiko penyalahgunaan, ringankan beban penjawat awam dan akhirnya selesaikan masalah rakyat dengan berkesan. Jangan sesekali biarkan pengiraan politik kepartian membawa mudarat kepada rakyat.