Skip to content

Kerajaan digesa pertimbang tanggung sebahagian caj kuarantin mahasiswa

Saya ingin mengingatkan dan menyeru kita semua untuk terus patuh kepada segala langkah pencegahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19. Seruan ini dibuat susulan tindakan segelintir individu yang telah melanggar perintah kuarantin wajib di rumah sebagaimana ditetapkan oleh pihak Kerajaan. Sikap tidak bertanggungjawab tersebut kini memerlukan setiap individu terbabit perlu menjalani kuarantin di stesen-stesen kuarantin secara berbayar.

Keputusan terbaharu yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan baru-baru ini turut memberi kesan kepada para mahasiswa yang pulang ke tanah air dan menjalani kuarantin di stesen-stesen kuarantin seperti ditetapkan. Sehubungan itu, saya menggesa agar pihak Kerajaan memberi memberikan kelonggaran caj kuarantin bagi meringankan beban para mahasiswa terbabit.

Terlebih dahulu, saya memetik tiga laporan akhbar bagi memberi gambaran lebih jelas berhubung caj kuarantin yang dikenakan oleh pihak Kerajaan:

KEPUTUSAN PERTAMA KEPUTUSAN KEDUA KEPUTUSAN KETIGA
Setiap mahasiswa/individu
yang pulang ke tanah air
akan ditanggung bayaran caj
kuarantin sebanyak RM150
sahaja.[1]
Kerajaan akan menanggung
sebahagian caj kuarantin
manakala bakinya akan
ditanggung oleh pihak
mahasiswa atau penaja
mereka.[2]
Pihak Kerajaan telah
membenarkan semua rakyat
Malaysia yang pulang dari
luar negara untuk menjalani
kuarantin wajib di kediaman
masing-masing bermula pada
10 Jun lalu.[3]

Saya ingin menarik perhatian pihak Kerajaan berhubung kos caj kuarantin berkenaan yang pada dasarnya di luar kemampuan mereka. Jika dihitung kira, setelah ditolak dengan ujian pemeriksaan COVID-19 percuma disediakan oleh pihak Kerajaan, mahasiswa yang terbabit masih perlu menanggung sebanyak RM2,100 seorang caj kuarantin selama tempoh 14 hari.Jumlah caj kuarantin yang ditanggung mereka adalah selari dengan bayaran upah gaji sebulan bagi seorang graduan.

Justeru itu, saya sekali memohon agar pihak Kerajaan menggunapakai keputusan kedua yang dibuat sekitar bulan Mei lalu untuk menanggung sebahagian caj kuarantin yang dikenakan ke atas setiap mahasiswa. Sementara itu, mereka yang bertaraf penduduk tetap dan bukan warganegara pula amat wajar menanggung sepenuhnya caj kuarantin seperti ditetapkan.

Langkah Pusingan-U terhadap langkah kuarantin wajib mencerminkan bahawa Kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak teguh dalam memastikan dasar pemulihan COVID-19 di samping sehingga hari ini masih sepi dan buntu dalam melaksanakan kajian teknologi dan
saintifik untuk mencegah pandemik COVID-19.

Lantaran itu, saya ingin mengajak Kerajaan PN untuk merujuk kepada piawaian tatacara operasi (SOP) kuarantin wajib di rumah yang digunapakai di Taiwan dan Korea Selatan. Malah, pihak Kerajaan juga wajar membangunkan sistem saintifik dan berteknologi bagi memantau mereka yang menjalani proses kuarantin wajib sekali gus dilihat mampu mengukuhkan langkah pencegahan pandemik COVID-19.

Selain itu, pembangunan sistem sedemikian dijangka mampu mengumpulkan maklumat setiap individu samping bagi mengelakkan lambakan individu dikuarantin (person under surveillance, PUS) di sesebuah stesen kuarantin seperti dikesan berlaku di beberapa stesen kuarantin di negeri Johor sebelum ini. Kegagalan mengawal lambakan PUS di sesebuah stesen kuarantin dibimbangi meningkatkan risiko jangkitan silang.

Pada dasarnya, segala langkah pengawalan dan pencegahan pandemik COVID-19 ini bukan tanggungjawab satu-satu pihak sahaja sebaliknya memerlukan peranan aktif daripada setiap daripada kita. Oleh itu, saya ingin meminta orang ramai untuk kekal dengan resam baharu (new norm) dan penjagaan diri seperti mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial. Kesepakatan kita baik rakyat, pemerintah dan golongan profesional mampu mengawal, memutus dan menghentikan penularan pandemik COVID-19.

1. COVID-19: Kerajaan hanya tanggung RM150 sehari (Berita Harian, 7 April 2020).
2. Penaja tanggung separuh caj kuarantin hotel pelajar tajaan (Berita Harian, 28 Mei 2020).
3. Rakyat pulang kuarantin wajib di rumah (Harian Metro, Jun 2020).