Skip to content

Kerajaan digesa tidak merompak hak pekebun-pekebun kecil

Peruntukan wang bantuan tanam semula 1.0 juta pekebun-pekebun kecil di Malaysia telah di kurangkan sebanyak 85% iaitu daripada purata RM 200 juta setahun kepada hanya RM 30 juta untuk tahun 2017.

Saya telah menyoal Menteri Industri Perladangan dan Komoditi, Dato Mah Siew Keong di Parlimen kenapa banyak permohonan pekebun-pekebun kecil untuk wang bantuan tanam semula masih tidak diluluskan sungguhpun mereka layak untuk menerimanya.

Dato’ Mah menjelaskan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dari 2010-2015, sejumlah RM 1.0 bilion telah diperuntukkan atau purata RM 200 juta setahun untuk wang bantuan tanam semula pekebun-pekebun kecil.

Dibawah RMK-11 dari 2016-2020, kerajaan telah merancang untuk memperuntukkan RM 540 juta atau RM 108 juta setahun untuk wang bantuan tanam semula pekebun-pekebun kecil, penurunan sebanyak 46% daripada apa yang telah diperuntukkan dibawah RMK-10.

Walau bagaimanapun, kerajaan hanya mampu memperuntukkan sebanyak RM 30 juta untuk wang bantuan tanam semula bagi tahun 2017 iaitu penurunan sebanyak 85% jika dibandingkan dengan peruntukkan sebanyak RM 200 juta setahun dibawah RMK-10. Tindakan kerajaan merupai menaruh garam atau cuka ke dalam luka 1.0 juta pekebun-pekebun kecil yang terdiri daripada lebih kurang 550,000 pekebun-pekebun kecil lelapa sawit dan lebih kurang 450,000 pekebun-pekebun kecil getah.

Sebahagian besar daripada wang bantuan tanam semula ini merupakan wang yang telah dikutip daripada pekebun-pekebun kecil sendiri iaitu melalui ses jualan getah dan cukai “durian runtuh” jualan kelapa sawit pekebun-pekebun kecil.

Saya menyeru kerajaan supaya dengan serta merta menaikkan wang bantuan tanam semula kepada sekurang-kurangnya RM 200 juta setahun dan tidak merompak hak pekebun-pekebun kecil.