Skip to content

Kerajaan Diseru Menghentikan Kelulusan Projek Berkepadatan Tinggi Berdekatan Kolam Takungan Banjir (KTB), Mengkaji Semula Pemberimilikan Tanah dan Pembangunan di KTB Kg Bohol & Projek Berkepadatan Tinggi di Taman Desa Yang dibina Oleh Pemaju Mah Sing Berhad

Memandangkan hujan lebat dan banjir kilat telah menjadi semakin serius, Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL diminta menghentikan kelulusan projek pembangunan berkepadatan tinggi di Kuala Lumpur, khususnya projek yang melibatkan kawasan rendah dan kawasan tadahan air demi mengurangkan risiko banjir besar-besaran di Kuala Lumpur.

Semalam, hujan lebat telah menyebabkan banjir kilat berlaku di Segambut, Kampung Baru, Seri Semarak, Taman Bunga Raya, dan tempat letak kereta terbuka berhampiran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).

Selain itu, hujan lebat berturut-turut juga mengakibatkan tanah runtuh berlaku di Jalan Genting Kelang sehingga 52 orang penduduk diarah meninggalkan tempat terlibat.

Hujan lebat yang kerap menunjukkan perubahan iklim telah menyumbang kepada cuaca yang ekstrem. Saliran dan perparitan di Kuala Lumpur memang tidak dapat menampung pembangunan berkepadatan tinggi yang pesat sekarang. Sekiranya DBKL masih terus meluluskan projek pembangunan yang berkepadatan tinggi tanpa membesarkan perparitan dan mendalamkan sungai di Kuala Lumpur, maka kita akan melihat banjir kilat akan berlaku dengan lebih kerap pada masa depan.

Justeru, saya ingin minta Kerajaan mengkaji semula projek pembangunan perumahan yang yang menggunakan 4.4 ekar tanah di KTB Kg Bohol dan tanah persekitarannya; dan juga projek pembangunan berkepadatan tinggi di Taman Desa oleh Mah Sing Group di tapak berdekatan dengan KTB Taman Desa yang terima air yang disalurkan dari Kuala Lumpur melalui Terowong Smart.

Pihak Putrajaya dan DBKL harus mengkaji semula dasar pembangunan perumahan Madani yang berkepadatan tinggi di Kuala Lumpur, kerana projek-projek yang merosakkan keseimbangan ekologi dan menjejaskan aliran trafik. Di samping itu, kerajaan juga harus mempergiatkan usaha membersihkan terowong, membesarkan parit-longkang dan juga mendalamkan sungai, terutama di kawasan yang sering dilandai banjir.

Saya menyeru Datuk Bandar baru, Datuk Seri Dr Maimumah yang pernah pegang jawatan pengarah eksekutif UN Habitat akan mempromosi konsep bandar hijau di Kuala Lumpur, dan menambah lebih taman rekreasi dan landskap hijau demi meningkatkan keupayaan tanah untuk menyerap air dan mengurangkan risiko tanah runtuh.

Saya berharap Datuk Bandar baru ini juga akan berusaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar yang melaksanakan pembangunan yang mampan.