Skip to content

Kerajaan gagal yang hanya fokus membeli sokongan politik dengan melantik Timbalan Menteri Pelancongan baharu tetapi tidak ada rancangan untuk menyelamatkan industri pelancongan yang rugi RM100 bilion tahun lalu

Baru-baru ini tanda pagar #KerajaanGagal hangat digunakan di kalangan pengguna media sosial yang marah dengan Kerajaan PN yang obses dengan survival politik, sehingga PN sama sekali gagal menangani 3 krisis politik – kes COVID-19 yang semakin meningkat, ketidakstabilan politik yang kronik dan tidak ada pemulihan yang cepat dari kemelesetan ekonomi. Salah satu kegagalan terbesar PN adalah tiadanya rancangan untuk menyelamatkan industri pelancongan yang kerugian RM100 bilion tahun lalu.

Sebaliknya, PN lebih fokus membeli sokongan politik dengan melantik Senator Guan Dee Koh Hoi sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang baharu. Bolehkah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan apa nilai tambah yang dapat dibawa oleh Timbalan Menteri baharu ini ke dalam kerajaan yang dapat menyelamatkan industri pelancongan yang sedang tersepit, ketika Menteri Pelancongan sekarang kelihatan tidak mampu melakukan apa-apa?

Rayuan persatuan pelancongan untuk mendapatkan bantuan kerajaan tidak diendahkan. Sebagai contoh, aduan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengenai polisi yang berubah-ubah dengan pusingan U pada SOP COVID-19 dan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan tidak ditangani. Apa yang kita saksikan sebaliknya adalah amalan dua darjat yang memalukan, dengan rakyat biasa dihukum denda berat sehingga RM10,000 dan RM50,000 untuk syarikat, sementara Menteri dikenakan tindakan lembut atau lolos tanpa hukuman.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang menghadapi peningkatan jumlah penutupan hotel, masih menunggu bantuan kerajaan untuk tahun 2021, dalam bentuk pelanjutan program subsidi upah, subsidi yang lebih tinggi untuk pelancongan, perluasan pengecualian cukai pelancongan dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pengecualian fi dan levi untuk pelancongan bagi hotel dan diskaun elektrik 50% sehingga akhir tahun.

Ke mana perginya RM622 bilion pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021? Muhyiddin hanya dapat mengakui bahawa kerajaan kekurangan dana walaupun membelanjakan RM622 bilion yang tidak membantu memperlahankan penutupan perniagaan dan menyelamatkan pekerjaan. Ini menimbulkan kecurigaan yang serius mengenai pembayaran dana tersebut di kalangan rakyat, yang tidak dapat dijawab setelah penggantungan Parlimen yang tidak berperlembagaan.

Kementerian Pelancongan mesti berasa lega kerana mereka tidak perlu dipersoal dengan prestasi buruk mereka oleh Ahli Parlimen yang tidak senang dengan kehilangan pekerjaan dan perniagaan dari satu sektor yang kritikal. Adakah Kerajaan PN tidak prihatin dengan kelangsungan industri pelancongan, di mana Nilai Tambah Kasar Industri Pelancongan (GVATI) menyumbang hingga 15.9% daripada KDNK negara kita pada tahun 2019?

Itulah sebabnya penting bagi Parlimen untuk dibuka semula agar penderitaan dan kesengsaraan rakyat, bukan hanya dari industri pelancongan, dapat didengar dan ditangani. Malangnya, survival politik lebih diutamakan berbanding mata pencarian ekonomi rakyat sehingga semuanya dapat dibuka semula kecuali Parlimen, semua Ahli Parlimen boleh diberi vaksin tetapi mereka masih tidak dibenarkan bersidang.