Skip to content

Kerajaan hanya membekalkan 7.5% keperluan radioterapi pesakit kanser

Kita semua tahu bahawa hospital kerajaan kekurangan kewangan dan penuh sesak. Kebanyakan hospital kerajaan berdepan kekurangan peralatan dan kakitangan untuk menangani bilangan pesakit. Keadaan ini semakin ketara dalam merawat pesakit yang mengidap kanser yang teruk. Secara purata, dianggarkan satu daripada empat orang di Malaysia berisiko mengidap kanser sebelum usia 75 tahun. Adalah juga dianggarkan bilangan kes kanser akan meningkat sebanyak 15% menjelang tahun 2020.

Kebanyakan pesakit kanser perlu menjalani radioterapi sebagai sebahagian daripada rawatan mereka untuk membunuh sel-sel kanser. Ini termasuk tumor otak, paru-paru, payudara dan prostat. Dalam kebanyakan kes, pesakit ini boleh sembuh dan menjalani kehidupan normal selama banyak tahun.

Mesin moden yang digunakan untuk radioterapi dipanggil linear accelerator. Bilangan pemecut linear yang diperlukan ialah 8 bagi setiap 1 juta penduduk. Daripada jawapan yang diberikan kepada pertanyaan saya di Parlimen, negara kita memerlukan sejumlah 240 linear accelerator bagi jumlah penduduk kita sebanyak 30 juta orang.

Malangnya terdapat hanya 18 linear accelerator dalam hospital kerajaan. Ini hanyalah 7.5% daripada jumlah keperluan bagi seluruh negara. Ini juga bermakna 92.5% daripada keperluan untuk rawatan radioterapi tidak dapat dipenuhi.

Di hospital swasta pula terdapat sebanyak 38 linear accelerator. Walaupun kita mengambil kira bilangan ini, jumlah linear accelerator di negara kita hanyalah 23.33% daripada jumlah keperluan keseluruhannya.

Walaupun kerajaan menyatakan bahawa perkhidmatan penjagaan kesihatan kita di antara yang terbaik di dunia, tidak ada gunanya apabila bilangan linear accelerator tidak cukup untuk merawat pesakit kanser yang memerlukan rawatan segera dan tidak mampu menunggu selama berbulan-bulan.

Keadaan ini semakin genting apabila banyak negeri juga tidak mempunyai akses kepada linear accelerator sama sekali di hospital kerajaan, terutamanya di kawasan utara semenanjung dan pantai timur. Ini termasuk Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Pahang. Pesakit-pesakit ini terpaksa membuat perjalanan beratus-ratus kilometer ke Kuala Lumpur untuk menerima rawatan. Pesakit kanser ini yang sudah sedia sakit dan lemah memang akan menghadapi kesukaran tambahan membuat perjalanan jauh untuk menerima rawatan. Sebaliknya jika mereka menerima rawatan ini di hospital swasta yang berdekatan, mereka terpaksa berdepan kos rawatan yang tinggi.

Kos seunit pemecut linear adalah di antara RM17 juta hingga RM19.6 juta. Sementara kos HSR (Keretapi Berkelajuan Tinggi) 350km adalah RM77 bilion. Ini bersamaan dengan 3,928 pemecut linear, atau 16.3 kali keperluan linear accelerator bagi seluruh negara. Bagi tahun 2015 hingga 2017, kerajaan hanya memperuntukkan sejumlah RM36.6 juta untuk membeli dua linear accelerator baru untuk Sabah dan Sarawak.

Sebagai rumusan, kerajaan jelas kurang berminat hal kebajikan pesakit kanser berbanding lapangan terbang dan kereta api glamor. Cukai dan GST yang dikutip sepatutnya dibelanjakan untuk meningkatkan dan melengkapkan hospital kita. Saya dengan ini menggesa rakyat untuk mengundi kerajaan Pakatan Harapan baru untuk menjaga mereka apabila mereka sakit.