Skip to content

Kerajaan harus memandang serius tiga kemelut utama pekebun sayur dan bukannya menetapkan harga siling sewenang-wenangnya

Berkenaan dengan cadangan sesetengah pihak kepada kerajaan untuk menetapkan harga siling bagi sayur, saya menggesa Kerajaan dan semua pihak untuk memahami masalah struktur yang dihadapi oleh para pekebun dan bukannya campur tangan dalam pasaran dengan sewenang-wenangnya. Langkah campur tangan tanpa memahami masalah struktur sektor pertanian hanya akan memudaratkan pekebun sayur dan pengusaha sektor yang berkaitan.

Harga pasaran sayur sememangnya agak sukar dijangka, termasuk pekebun sayur sendiri. Oleh itu, para pekebun sering menghadapi risiko yang tinggi kerana perlu menanggung kerugian yang tidak dapat dijangka.

Sebagai contoh, harga bagi sayur berdaun di Cameron Highlands (seperti kobis, pak choy, daun saderi, sawi pahit, dan sebagainya) pernah meningkat secara mendadak pada bulan Mei tetapi menurun sejak bulan Jun. Sehingga awal bulan Julai, hasil sayuran berdaun berlebihan dan mengakibatkan harga sayuran tersebut jatuh bawah RM1 per kilogram. Sesetengah pekebun terpaksa “memusnahkan sayuran” kerana berhasrat meminimakan kerugian.

Apabila harga sayuran terlalu rendah, kerajaan tidak pernah memberi subsidi atau melaksanakan sebarang langkah bagi membeli sayur daripada pekebun. Justeru. pekebun sayur terpaksa menanggung kerugian sendiri.

Namun, apabila harga sayur meningkat, sesetengah pihak pula mencadangkan kepada kerajaan untuk menetapkan harga siling atau mengawal harga. Ini adalah amat tidak adil bagi para pekebun yang tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada kerajaan.

Di samping itu, masa yang diperlukan untuk menanam dan menuai sayuran, dan cara menanam sayuran adalah berlainan untuk berbagai jenis sayuran.

Memandangkan pasaran sayuran adalah amat rumit, kerajaan tidak mempunyai kemampuan dan tidak wajar campur tangan dalam pasaran ini. Sekiranya kerajaan hanya memilih untuk mengawal harga bagi beberapa jenis sayuran, tindakan ini hanya akan memudaratkan keadaan pekebun kecil dan memberi ruang besar kepada beberapa syarikat pertanian berskala besar untuk memonopoli pasaran ini.

Padahal Kerajaan seharusnya memandang serius terhadap masalah struktur pekebun sayur, terutamanya cabaran yang dihadapi oleh mereka semakin meningkat dalam zaman pasca Covid-19. Antaranya, kos menghasilkan sayuran sering meningkat dan menyebabkan kenaikan dan penurunan hasil sayuran yang lebih drastik berbanding dengan dahulu.

Secara amnya, selain daripada faktor cuaca seperti hujan lebat dan cuaca extrem serta masalah serangan perosak, sektor pertanian juga menghadapi tiga masalah dan cabaran utama pasca Covid-19 yang mengundang kepada peningkatan kos untuk menghasilkan sayuran.

Pertamanya, sejak penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun 2020, pelbagai sektor ekonomi termasuk sektor pertanian mengalami kekurangan pekerja yang serius. Kerajaan enggan mengambil pekerja asing tetapi pada masa yang sama, tidak mampu membekalkan tenaga kerja yang mencukupi kepada sektor-sektor ekonomi. Keadaan ini mengundang kepada kemelut ekonomi di mana pengusaha pelbagai sektor ekonomi merebut tenaga buruh. Dalam pada itu, sektor sawit dan pembinaan mampu menawarkan gaji yang lebih lumayan untuk menarik buruh kerana mampu menjana keuntungan yang lebih besar. Oleh sebab sektor pertanian tidak memiliki kelebihan sedemikian, ramai pekebun tidak mampu mengupah pekerja dan terpaksa mengurangkan operasi pertanian. Akibatnya, produktiviti pertanian yang menurun turut memberi kesan kepada bekalan sayur dalam pasaran dan perubahan harga sayur.

Keduanya, sejak dua tahun lepas, harga bahan asas dalam sektor pertanian, seperti baja, racun perosak, benih, kotak dan sebagainya, meningkat secara mendadak. Terutamanya, harga baja meningkat sebanyak 200% sejak berlakunya perang Rusia-Ukraine. Semua ini menambah buruk kemelut yang dihadapi oleh pekebun dan mengurangkan hasil rezeki berbanding dengan dahulu.

Ketiganya, oleh sebab kekurangan analisis, tafsiran, perancangan, dan sokongan berdasarkan Big Data, para pekebun tidak mempunyai informasi yang tepat dan lengkap bagi tujuan menilai risiko sebelum menanam sayur. Disebabkan tiada sokongan informasi, para pekebun berkemungkinan akan menanam jenis sayur yang sama, maka hasil sayur akan berlebihan semasa musim menuai. Jelasnya, pekebun berkenaan akan mengalami kerugian besar. Keadaan ini menyebabkan para pekebun seolah-olah perlu membuat taruhan dalam perjudian sebelum menanam sayur. Dalam jangka masa panjang, kemelut tersebut akan menjadi halangan kepada transformasi sektor pertanian untuk mencapai pertanian lestari (sustainable agriculture).

Demi menstabilkan pasaran sayuran, kerajaan haruslah memandang serius dan mengatasi masalah struktur sektor pertanian, termasuk meningkatkan pertumbuhan logistik, membekalkan tenaga kerja yang cukup kepada pekebun, memberi subsidi kepada kos penghasilan produk pertanian seperti baja dan racun perosak, membina pangkalan data untuk Big Data, serta memberi bimbingan dan sokongan kepada para pekebun dalam penanaman sayur demi mengurangkan risiko pasaran yang dihadapi oleh para pekebun.