Skip to content

Kerajaan harus memanfaatkan 70% kapasiti makmal-makmal swasta yang kurang digunakan untuk memulakan ujian besar-besaran

Ahad lalu, Ketua Pengarah (DG) Kementerian Kesihatan telah mendedahkan, makmal-makmal swasta kini hanya beroperasi pada tahap 30% bagi ujian Covid. Kita kini berada pada kemuncak krisis Covid-19, justeru, adalah mengejutkan apabila kapasiti sedia ada masih tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk melawan virus terbabit.

Ramai pakar kesihatan dan MP pembangkang telah mendesak supaya lebih banyak ujian dilaksanakan mengikut syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar kadar positif berada pada 5% atau kurang. Malah, banyak negara yang berjaya mengekang Covid mencatatkan kadar positif lebih rendah daripada 1%. Walau bagaimanapun, di Malaysia, setakat 6 Jun hingga 12 Jun, kebanyakan negeri mencatatkan kadar positif melebihi 5% termasuk Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak, Selangor, KL, Labuan dan WP Putrajaya. Oleh itu, angka harian yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan pada dasarnya lebih rendah daripada realiti di lapangan.

Yang paling penting, dilaporkan juga kes-kes sporadik telah melonjak naik daripada 52% pada penghujung Mac kepada 84% pada awal Jun [1]. Penyebaran yang tidak terhubung ini adalah sangat membimbangkan kerana virus tersebut mungkin sudah menular dalam masyarakat secara meluas tanpa disedari memandangkan kebanyakan kes positif adalah tidak bergejala.

Ini adalah bom masa yang perlu diselesaikan segera dan kita sepatutnya belajar daripada negara lain. Pada Oktober 2020, ketika 12 kes berkait dengan sebuah hospital merawat pesakit Covid-19 ditemukan di Qing Dao, China, pihak kerajaan di situ pantas melakukan ujian besar-besaran yang melibatkan 9 juta orang dalam tempoh 5 hari. Begitu juga pada Mei 2021, ketika wilayah Victoria, Australia dikenakan perintah ‘lockdown’, mereka juga menjalankan ujian besar-besaran sebagai langkah mengekang penyebaran virus.

Di Malaysia, kita kini mencatatkan sekitar lima hingga enam ribu kes positif sehari dengan lebih daripada tiga perempat kes sporadik. Maka, sangat penting untuk kita juga melakukan ujian besar-besaran atau ujian massa ni. Oleh demikian, saya tidak fikir jentera kerajaan mampu mengharunginya. Melalui apa yang saya perhatikan di jabatan kesihatan daerah Bakri dan Muar, mereka hampir kehabisan tenaga apabila katil di wad ICU dipenuhi dengan pesakit Covid-19, manakala program vaksinasi turut giat dijalankan.

Kerajaan harus ‘memandang’ kepada pihak swasta, susulan terdapat 70% kapasiti yang tidak digunakan di makmal swasta kini. Jadi mengapa tidak kerajaan bekerjasama dengan mereka untuk menjalankan program pengujian besar-besaran ini?

Kita mempunyai sumber untuk melakukannya. Kerajaan memperuntukkan RM600 bilion untuk memerangi Covid-19. Inisiatif uji-jejak-asing-rawat harus ada dalam senarai keutamaan (bersama dengan vaksinasi) untuk memutuskan rantaian jangkitan. Sebagai gambaran yang lebih jelas, ekonomi negara kerugian sebanyak RM1 bilion sehari sepanjang pelaksanaan PKP 3.0. Dengan RM1 bilion, kita dapat memberikan ujian percuma kepada lebih 20 juta orang! Sudah tentu kita juga harus memperuntukkan dana untuk bersiap menghadapi lonjakan kes positif harian jika lebih banyak ujian dilakukan dengan meningkatkan kapasiti mengesan, menambahbaik kemudahan di pusat kuarantin, menyediakan kit kuarantin di rumah termasuk oximeter yang mencukupi, kit ujian kendiri, alat pengesanan pergerakan, dan sebagainya. Secara keseluruhan, anggaran yang diperlukan untuk inisiatif uji-jejak-asing-rawat yang berjaya hanyalah sebahagian kecil daripada peruntukan RM600 bilion Covid-19.

Semakin cepat kita mengesan kes positif dalam masyarakat, mengasingkan, merawat jika perlu, dan mengesan kontak rapat, semakin cepat kita dapat memutuskan rantaian jangkitan. Ini akan menjadi usaha yang baik seiring dengan program vaksinasi kebangsaan. Saya percaya bahawa kombo ujian saringan besar-besaran dan program vaksinasi besar-besaran akan memainkan peranan penting dalam memastikan Covid-19 terkawal.

Sehubungan itu, saya sekali lagu menyeru kerajaan untuk memanfaatkan 70% kapasiti makmal-makmal swasta yang kurang digunakan untuk menjalankan program ujian besar-besaran dan untuk memastikan satu inisiatif uji-jejak-asing-rawat yang berjaya.