Saya dengan ikhlasnya menyeru Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk mewujudkan sinergi dan kerjasama erat untuk membantu meringankan kos pertanian dan beban pekebun sayur, serta memperkenalkan dasar pembangunan pertanian yang berjangka masa panjang demi mengatasi isu lambakan sayuran dan meningkatkan tahap pertanian secara keseluruhan di Malaysia.
Oleh sebab harga sayuran yang amat rendah baru-baru ini, sesetengah pekebun menghadapi msalah lambakan sayuran dan terpaksa membuang sayuran demi mengurangkan kerugian.
Disebabkan cuaca bertambah baik pada bulan ini, produktiviti sayuran dan jumlah hasil tanaman meningkat. Pada masa yang sama, disebabkan bekalan sayuran melebihi permintaan pasaran, sesetengah pengangkut sayuran dan pemborong tidak mampu menerima hasil tanaman yang dikeluarkan oleh petani sayur. Oleh itu, sesetengah pekebun terpaksa membuang sayur demi mengurangkan kerugian yang dihadapi.
Memandangkan sektor pertanian sememangnya amat bergantung pada faktor cuaca dan nasib, pendapatan para pekebun, terutamanya pekebun kecil, berkemungkinan terjejas dari semasa ke semasa. Apabila cuaca bertambah baik, hasil tanaman akan meningkat, namun sesetengah pekebun berkemungkinan menghadapi kerugian disebabkan harga sayur yang amat rendah. Apabila musim tengkujuh tiba, harga sayuran akan meningkat, namun ramai pekebun tidak mempunyai hasil tanaman yang mencukupi untuk mendapatkan keuntungan dan menampung kerugian yang dihadapi sebelum ini.
Selain daripada faktor luaran seperti cuaca yang memberi impak besar terhadap jumlah hasil dan harga sayuran, isu asimetri maklumat (information asymmetry) juga merupakan kekangan dan cabaran yang menghalang sektor pertanian Malaysia untuk berdaya maju.
Oleh sebab kekurangan informasi, para pekebun terutamanya pekebun kecil hanya boleh membuat dugaan sendiri untuk memilih jenis sayur yang ingin ditanam. Seterusnya, para pekebun hanya boleh menaruh harapan kepada tuhan. Sekiranya bernasib baik, pekebun sayur akan mendapatkan keuntungan ketika harga sayuran tertentu meningkat. Sekiranya harga sayuran menurun dengan mendadak apabila pekebun sayur menuai hasil tanaman mereka, pekebun yang tidak membuat dugaan yang betul tidak akan mendapatkan keuntungan dan berkemungkinan mengalami kerugian.
Justeru, saya menyeru Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk menjalin kerjasama dan mewujudkan sinergi baik untuk mengurangkan kos pertanian para pekebun daripada beberapa aspek. Antaranya, kerajaan boleh menurunkan kos sewaan tanah pertanian dan memberi bantuan atau subsidi kepada pekebun yang kini menghadapi kos baja dan racun perosak yang telah meningkat secara mendadak selama beberapa tahun.
Sebagai contoh, kadar sewaan tanah pertanian Cameron Highlands meningkat hampir 500 % mulai tahun 2020, iaitu daripada hampir RM900 seekar setahun (kadar TOL) ke RM4,500 seekar setahun (kadar sewaan tanah mulai tahun 2020). Kenaikan kadar sewaan tanah ini amat menambah beban para pekebun terutamanya pekebun kecil di Cameron Highlands. Selain itu, kos baja yang meningkat secara mendadak disebabkan Perang Rusia-Ukraine masih berada pada tahap yang tinggi dan menambah buruk beban kewangan para pekebun kecil.
Oleh itu, bantuan dan sokongan yang diberi oleh Kerajaan semestinya akan memberi kesan yang positif dari segi meringankan kos pertanian pekebun yang semakin meningkat dan menurunkan risiko kerugian yang dihadapi oleh mereka.
Dalam jangka masa panjang, saya juga menyeru Kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan dasar pertanian yang strategik dan berjangka masa panjang serta mewujudkan sinergi yang baik dengan kerajaan-kerajaan negeri dan semua agensi kerajaan (cross-government). Dengan mengurangkan birokrasi dan memberi dorongan kepada para pekebun untuk menggunakan teknologi pertanian dan meningkatkan tahap pertanian, kerajaan dan para pekebun mampu mengumpul data pertanian yang mencukupi dan tepat untuk membuat anggaran dan keputusan dengan lebih berkesan. Semua ini akan merancakkan pembangunan sektor pertanian di Malaysia sebagai sektor ekonomi berasaskan data (data-driven) dan berproduktiviti tinggi demi mewujudkan pertanian lestari serta merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan tahap jaminan bekalan makanan di Malaysia.