Pada minggu lepas, ketua menteri Melaka, YAB Adly Zahari, telah mengumumkan beberapa perubahan dasar dan penyusunan semula pentadbiran negeri yang penting.
Kerajaan negeri telah memutuskan bahawa tempoh perjawatan lantikan-lantikan kerajaan negara – ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), dan kakitangan JAPERUN – akan ditetapkan kepada satu tahun.
Sebelum ini, tempoh perjawatan adalah tiga tahun untuk ahli majlis PBT dan dua tahun untuk ahli MPKK, manakala tempoh perjawatan kakitangan JAPERUN ditentukan oleh ADUN.
Ketua menteri juga mengumumkan bahawa dua PBT – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) – akan mengalami penukaran Datuk Bandar dan Yang Dipertua pada Februari 2019.
Saya mengalu-alukan keputusan ketua menteri dan kerajaan negeri. Perubahan-perubahan tersebut membolehkan pentadbiran kerajaan negeri, terutamanya PBT, kekal berkesan.
Perubahan dasar dan penyusunan tersebut akan memastikan mereka yang dilantik tidak akan leka dalam menjalankan tugas. Prestasi mereka akan dinilai selepas setahun, dan mereka yang tidak menjalankan tugas dengan cemerlang tidak akan dilanjutkan perjawatan.
Pejabat saya telah menerima maklum balas secara berterusan daripada penduduk tempatan. Ada yang berpuas hati dengan penambahbaikan pentadbiran kerajaan negeri sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, manakala ada juga yang mengadu bahawa ahli majlis mereka kurang memuaskan. Terdapat juga dakwaan-dakwaan mengenai gejala rasuah.
Saya telah menyampaikan isu ini kepada pemimpin-pemimpin PH yang lain di peringkat negeri dan berbincang bersama. Yakinlah bahawa tindakan sewajarnya akan diambil dari masa ke semasa. Perubahan dasar yang diumumkan baru-baru ini, sepertimana yang dinyatakan di atas, adalah langkah ke arah tersebut.
Sudah tentu, reformasi asas yang diperlukan ialah pilihan raya di peringkat PBT. Perkara ini adalah sebahagian daripada janji PH di manifesto pilihan raya yang lepas.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YBM Zuraida Kamaruddin, telah menyatakan bahawa kerajaan persekutuan sedang mengkaji perkara tersebut dan menyasarkan untuk mengembalikan pilihan raya PBT dalam tempoh masa tiga tahun.
Pada sesi parlimen tahun lalu, saya telah menggesa supaya perkara ini disegerakan. Oleh itu, saya berharap agar pihak kementerian akan memberi perkembangan terkini dalam masa terdekat.
Sementara itu, saya menyeru agar kerajaan-kerajaan negeri di bawah pimpinan PH memperkenalkan langkah-langkah interim untuk memastikan terdapatkan akauntabiliti dan ketelusan di peringkat PBT. Selain menetapkan dan memendekkan tempoh perjawatan lantikan, kita juga patut memperkenalkan indikator pretasi (KPI) untuk ahli majlis dan mewujudkan suatu sistem maklum balas formal supaya para penduduk boleh menyalurkan pendapat mereka.