Skip to content

KERAJAAN MADANI SELESAI ISU PERUMAHAN YANG BERLARUTAN SELAMA 27 TAHUN DALAM TEMPOH 26 BULAN MENTADBIR NEGARA

Kerajaan Madani yang baru berusia 26 bulan mengutamakan kesejahteraan rakyat, apabila memenuhi impian kira-kira 1,250 penduduk di kawasan Bestari Jaya, Kuala Selangor untuk mendapat kediaman yang sempurna yang dinantikan lebih 27 tahun.

Turut sama mendapat berita gembira itu adalah 245 pekerja ladang di Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak yang bakal menerima rumah mereka melalui Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya.

Impian penduduk tersebut menjadi satu kenyataan hasil kerjasama erat antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Selangor dan Berjaya Corporation Berhad, yang bakal menjadi contoh untuk projek seumpama itu di masa depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kuala Kubu Baharu, YB Pang Sock Tao, yang menyambut baik pelaksanaan projek yang julung-julung kali diadakan di kawasan berkenaan, percaya Kerajaan Madani berada di landasan betul untuk membela kebajikan rakyat terutama mereka yang tidak mempunyai rumah.

“Saya menyambut baik inisiatif ini dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, serta KPKT di bawah YB Nga Kor Ming atas kecekapan dan komitmen mereka dalam menangani isu perumahan rakyat.

“Saya percaya bahawa dengan semangat MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, lebih banyak projek sebegini dapat direalisasikan demi manfaat rakyat Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar dan ladang. Dengan kejayaan projek ini, pekerja ladang kini dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan terjamin, setelah sekian lama menunggu , ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya itu membabitkan pembinaan rumah teres berkeluasan tanah 1,200 kaki persegi, dengan tiga bilik bersama dua bilik air di atas tanah seluas 8.09 hektar (20 ekar) milik Berjaya Corporation Berhad di Ladang Sungai Tinggi, akan dilaksanakan oleh PR1MA Corporation Malaysia.

Kos pembangunan sebanyak RM75 juta ditanggung bersama Kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta manakala selebihnya RM35 juta dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor demi kesejahteraan rakyat.

YB Pang Sock Tao berkata, projek tersebut bukan sahaja membawa sinar baharu kepada pekerja ladang yang sekian lama berdepan dengan ketidaktentuan perumahan, tetapi juga menjadi lambang kepimpinan yang proaktif dan berorientasikan rakyat.

Katanya, projek tersebut membuktikan Kerajaan Madani bekerja untuk kesejahteraan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.