Kerajaan Malaysia harus meyakinkan rakyat bahawa kerajaan tidak diperdaya oleh Goldman Sachs yang heboh kononnya mereka telah berjaya memperoleh tawaran yang menguntungkan iaitu pembayaran tunai USD$2.5bilion berbanding USD$7.5 bilion, bagi mencapai penyelesaian kes penyelewengan 1MDB bersama bekas pemimpin Malaysia dan kroni-kroni mereka. Dunia kewangan antarabangsa melihat Goldman Sachs sebagai berjaya melepaskan tanggungjawab mereka dengan mudah, dengan hanya membayar satu pertiga dari jumlah tuntutan asal US$7.5 bilion oleh kerajaan PH sebelum ini, bagi mengelak tindakan undang-undang ke atas bank tersebut dan 17 pengarah dan bekas pengarah Goldman Sachs.
Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Goldman Sachs, sebuah firma perbankan global, telah bersetuju untuk membayar US$3.9 billion (RM16.63 bilion) sebagai penyelesaian dengan pihak kerajaan Malaysia atas kes penipuan 1MDB, tidak boleh menutup fakta bahawa US$1.4 billion sebenarnya bukan dibayar oleh Goldman Sachs tetapi datang dari aset 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa di seluruh dunia.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020, selepas Mahkamah mendapati beliau bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan yang melibatkan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah bersifat jenayah melibatkan dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya daripada salah sebuah unit dalam 1MDB. Seperti Najib, jika Goldman Sachs didapati bersalah, selain hukuman penjara, mereka boleh didenda 5 kali jumlah yang diselewengkan.
Dibawah Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, kerajaan tegas menuntut USD7.5 bilion bagi tiga bon 10 tahun berjumlah USD6.5 bilion yang diatur oleh Goldman Sachs dengan kadar faedah yang jauh lebih tinggi daripada pasaran dan dijamin oleh Kerajaan Malaysia:
- USD1.75 bilion pada kadar faedah 5.99% diterbit pada 18 Mei 2012
- USD1.75 bilion pada kadar faedah 5.75% diterbit pada 17 Oktober 2012
- USD3.0 bilion pada kadar faedah 4.4% diterbit pada 16 Mac 2013
Jumlah USD7.5 bilion yang dituntut oleh Kerajaan PH sebelum ini termasuk USD1 bilion bagi menampung kos faedah yang dikenakan pada bon tersebut setakat ini.
Tindakan kerajaan melepaskan tuntutan asal USD$7.5 bilion dan berpuas hati dengan penyelesaian USD$3.9 bilion menunjukkan kerajaan memandang remeh bebanan hutang 1MDB yang sebegitu besar. Jumlah hutang 1MDB terkini yang dijamin oleh kerajaan ialah sebanyak RM31.7 bilion. Jumlah ini akan meningkat kepada RM41.5 bilion sekiranya dicampur dengan kadar faedah sehingga tahun 2038. Jumlah ini tidak termasuk RM8.9 bilion yang telahpun dibayar Kerajaan sebelum ini. Ini bermaksud jumlah keseluruhan hutang 1MDB, termasuk faedah, yang terpaksa ditanggung oleh negara kita ialah RM50.4 bilion.
Penyelesaian untuk menggugurkan pertuduhan jenayah ke atas Goldman Sachs dengan hanya 1/3 dari jumlah tuntutan asal nampaknya senada dengan keputusan pada Mei 2020 untuk melepas Riza Aziz, anak tiri Najib Razak, dari lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan sejumlah US$248 bilion (RM1.08 bilion) yang diseleweng dari dana 1MDB dengan imbalan Riza Aziz memulangkan US$108 juta.
Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas mengulas hal ini, “Riza Aziz tidak menawarkan sebarang duit melainkan dari sumber yang telah dibeku oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ). Wang tersebut memang tetap akan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia.”
Demi kepentingan awam dan prinsip akauntabiliti, Kerajaan Perikatan Nasional harus menjawab kepada rakyat sama ada keadilan benar-benar telah dicapai bagi pihak rakyat Malaysia, dengan membenarkan Goldman Sachs membayar hanya satu pertiga dari jumlah tuntutan asal sebelum ini iaitu USD 7.5 bilion untuk mengelakkan Goldman Sachs dikenakan tindakan undang-undang jenayah atas peranan mereka bersubahat menyeleweng RM50.4 bilion wang 1MDB bersama-sama bekas pemimpin Malaysia dan kroni mereka?