Skip to content

Kerajaan Malaysia patut memberikan tekanan kepada kerajaan Filipina untuk membanteras kegiatan pengganas yang semakin menjadi-jadi

Menurut jawapan yang dibekal oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Malaysia telah menerima seramai 13.8 juta orang pelancong asing sejak Januari hingga Jun 2014, ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10.5 %, berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun 2013.

Meskipun berlaku peningkatan jumlah pelancong di Malaysia, namun negeri Sabah yang menjadi destinasi yang paling digemari pelancong terutamanya daripada Republic Rakyat China (RRC) mengalami penurunan yang amat ketara. Setakat ini pasaran China dan Taiwan paling ketara mengalami penurunan sebanyak 11.8 % dan 2.9% masing-masing bagi tempoh Januari – Julai 2014 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2013. Jumlah ketibaan pelancong asing daripada Negara China adalah seramai 997,370 orang dan dari Negara Taiwan seramai 168,962 orang pada sehingga bulan Julai 2014.

Berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Abdul Aziz dalam sidang Parlimen baru- baru ini, sebanyak 30,000 tempahan yang telah dibatalkan atau ditangguhkan dimana seramai 8,913 tempahan merupakan kehilangan muatan penumpang akibat pembatalan sebanyak 76 penerbangan berjadual dan sewa khas dari China ke Sabah.

Antara faktor yang menjadi punca penurunan tersebut adalah disebabkan kes kehilangan pesawat MH370, dan penculikan yang seringkali berlaku di kawasan tersebut. Setakat ini sudah 5 kes penculikan yang melibatkan warga asing dan seorang polis marin.

Antaranya, kes serangan hendap yang berlaku pada 12hb Julai 2014 di Jeti Smart Water Bungalow Resort, Pulau Mabul Semporna, telah menyebabkan seorang anggota polis marin iaitu Koperal Ab Rajah Jamuan, terbunuh manakala Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang dipercayai dilarikan. Selain itu, pengusaha pusat ternakan ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun diculik oleh dua lelaki bersenjata di Kampung Air Sapang, Kunak pada 16hb Jun 2014.

Setakat hari ini, Konstabel Zakia Aleip dan Encik Chan Sai Chiun masih belum dibebaskan dan berkumpul bersama keluarga. Saya berharap kerajaan Malaysia dapat menyelamatkan mereka dengan cara apa sekalipun.

Selain itu, kerajaan Malaysia patut memberikan tekanan kepada kerajaan Filipina untuk membanteras kegiatan pengganas yang semakin menjadi-jadi terutamanya di Selatan Filipina supaya tragedi ini tidak berlaku lagi.