Menteri Besar Johor telah mengumumkan Bantuan Ihsan yang dikatakan akan memberi bantuan tunai antara RM250 dan RM500 kepada rakyat yang bukan tergolong sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dalam berhadapan kesan pandemic COVID-19.
Walaupun bantuan ini merupakan inisiatif yang baik daripada Kerajaan Negeri, terdapat beberapa soalan yang timbul berkenaan proses permohonannya. Saya juga menerima banyak pertanyaan dari rakyat yang ingin memohon bantuan ini.
Menurut garis panduan, permohonan bantuan ini adalah terbuka kepada pemohon warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia. Adakah ini bermaksud pekerja asing juga layak untuk memohon bantuan ini?
Ejen-ejen Pusat Saluran (sama ada Pejabat Menteri Besar, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat ADUN) yang dilantik perlu mendapatkan maklumat daripada pemohon sebelum memasukkan semua maklumat borang permohonan ke dalam Sistem e-IHSAN JOHOR. Proses ini telah menyebabkan kelewatan dalam proses permohonan kerana rakyat perlu menghantar maklumat kepada ejen Pusat Saluran kemudian tunggu ejen tersebut untuk membuat permohonan. Ini turut mengakibatkan ramai rakyat berkumpul di Pusat Saluran kerana masing-masing ingin bagi maklumat kepada ejen-ejen tersebut. Ini mungkin juga akan menimbulkan masalah pelanggaran arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Saya tertanya-tanya kenapa Kerajaan Negeri Johor tidak terus membuka permohonan secara dalam talian (online) bagi memudahkan rakyat, seperti untuk permohonan BPN. Rasanya ini akan lebih memudahkan Pusat Maklumat Ihsan Covid-19 Johor memandangkan tugasnya adalah untuk memproses maklumat permohonan oleh orang atau isi rumah untuk bantuan ini. Dengan permohonan dalam talian, perhimpunan orang ramai dapat dielakkan kerana ramai orang telah dan akan pergi ke pusat saluran untuk bertanya mengenai bantuan ini.
Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, Pejabat ADUN Johor Jaya telah menyediakan satu kotak khas “drop off” di luar pejabat untuk mengumpul borang permohonan bagi meminimakan kontak antara satu sama lain.
Selain itu, tiada penetapan tarikh agihan bantuan diberikan bagi Bantuan Ihsan. Hanya dimaklumkan bahawa permohonan akan ditutup apabila PKP dan pandemik COVID-19 berakhir dan keputusan status permohonan adalah tertakluk kepada Kerajaan Negeri Johor.
Memandangkan PKP dilanjutkan lagi sehingga 12 Mei 2020 dan bulan Ramadan sudah bermula, Kerajaan Negeri Johor digesa supaya mengambil tindakan yang lebih cepat, telus dan memudahkan tidak kira dalam pemberian bantuan kewangan atau pengagihan bantuan barangan untuk membantu rakyat yang memerlukannya pada masa yang kritikal ini.
Golongan sasar khususnya kumpulan B40 amat bergantung kepada bantuan seperti ini untuk memenuhi keperluan harian mereka. Saya bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mengambil tindakan proaktif dan menghantar barangan terus ke rumah penerima kerana mereka mengadu kepada saya bahawa pengagihan makanan dari kerajaan terlalu lambat dan makanan di rumah sudah habis.
Pejabat DUN Johor Jaya juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengagihkan barangan keperluan kepada masyarakat beragama Islam sempena bulan Ramadan supaya tiada masyarakat yang tercicir.