Skip to content

Kerajaan Negeri Johor patut mengadakan saringan Covid-19 skala besar secara percuma melalui Kumpulan Perubatan Johor

Saya menyarankan Kerajaan Negeri Johor supaya mencontohi Kerajaan Selangor dalam melancarkan saringan Covid-19 besar-besaran di sekitar kawasan kluster aktif khususnya Mukim tersebut bagi mengesan jangkitan awal dan seterusnya mengekang penularan.

Saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Johor mengerakkan penyedia penjagaan kesihatan KPJ Healthcare yang dimiliki oleh Johor Corporation Bhd (JCorp) bagi usaha ini.

Menurut statistik kes jangkitan sepanjang 14 hari yang lalu, kluster aktif di negeri Johor tertumpu di daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Muar, Kulai dan Kluang.

Jika KPJ dapat segera membantu Kerajaan Negeri dalam mengadakan saringan Covid-19 skala besar di kawasan-kawasan tersebut khususnya Mukim berkenaan, ia akan dapat menyekat rantai jangkitan dengan lebih efektif.

Saringan besar-besaran dipercayai akan mengesan lebih banyak kes Covid-19 dan menunjukkan bilangan jangkitan yang jauh lebih tinggi berbanding sekarang, namun orang ramai tidak perlu panik kerana dengan cara ini, baru kerajaan dapat memastikan wabak Covid-19 di negeri Johor dalam keadaan
terkawal.

Tambahnya, KPJ mempunyai 7 buah hospital di negeri ini yang menawarkan perkhidmatan kesihatan yang sangat baik. Dengan saringan skala besar, KPJ juga dapat memperluaskan skop saringan dan pada masa yang sama, bersiap sedia untuk melakukan vaksinasi besar-besaran kepada rakyat Johor pada
masa yang akan datang.

Memandangkan keadaan semasa di mana fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lagi dapat menangani virus Covid-19 dengan berkesan disebabkan jumlah kes yang sangat tinggi, Kerajaan Negeri patut bekerjasama dengan KPJ dan menggalakan kumpulan tersebut untuk memikul tanggungjawab sosial besar ini.

Ujian saringan Covid-19 secara percuma boleh dijalankan dengan pembiayaan Kerajaan Negeri melalui fasiliti dan tenaga kerja KPJ.

Menurut data KKM, jumlah kes Covid-19 di negeri Johor sepanjang tempoh 14 hari yang lalu adalah sebanyak 4,368 di mana sebanyak 206 kes disahkan pada 15 Mei sahaja. Setakat 15 Mei, 9 daerah di seluruh Johor telah diklasifikasikan sebagai kawasan zon merah.

Walaupun angka-angka ini amat menakutkan, lonjakan kes yang lebih tinggi akan berlaku setelah saringan skala besar diadakan kerana saya percaya ada banyak sumber jangkitan Covid-19 yang belum dikesan.

Laporan menunjukkan bahawa selepas Kerajaan Selangor menjalankan ujian saringan Covid-19 besar-besaran, majoriti yang dijangkiti wabak tersebut berumur 20 hingga 40 tahun dimana 80% yang dijangkiti tidak menunjukkan simptom atau gejala Covid-19.

Ini bermaksud ada ramai dalam kalangan mereka yang nampak sihat dan tidak menunjukkan simptom Covid-19 tetapi mereka mungkin telah menjangkiti orang lain tanpa menyedarinya.

Hanya dengan mengesan dan mengkuarantin pembawa virus Covid-19, baru kita dapat menyekat rantai jangkitan dengan lebih berkesan.

Ketika jangkitan semakin meningkat dan perkhidmatan perubatan awam hampir lumpuh, Kerajaan Negeri Johor perlu segera menggunakan sumber sedia ada untuk membantu perkhidmatan perubatan awam.

Pada masa yang sama, orang ramai perlu mematuhi SOP khususnya dalam tempoh perintah kawalan pergerakan dan elak merentas negeri dan daerah bagi melawan pandemik.