Skip to content

Kerajaan Negeri Johor Sokong Projek MyKiosk Chong Zhemin Desak Ling Tian Soon Letak Jawatan Exco Johor

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin hari ini mengeluarkan kenyataan tegas menggesa Exco Kerajaan Negeri Johor merangkap Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Ling Tian Soon, supaya segera meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor kerana secara terbuka mempertikai dan mensabotaj pelaksanaan projek gerai MyKiosk yang digerakkan bersama oleh Kerajaan Negeri dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan. Tindakan ini jelas melanggar prinsip tanggungjawab bersama Kabinet di bawah sistem Westminster.

Chong Zhemin menegaskan bahawa MyKiosk merupakan dasar penting yang bertujuan membantu rakyat meningkatkan pendapatan dan menghalalkan perniagaan kecil, terutamanya golongan B40, ibu bapa tunggal dan peniaga mikro. Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor juga telah menyatakan sokongan penuh terhadap dasar ini dalam sidang DUN Johor baru-baru ini, serta mengarahkan penambahbaikan daripada pihak PBT agar pelaksanaannya lebih berkesan.

“Sebagai anggota Exco Johor, Ling Tian Soon sepatutnya menyokong dasar kerajaan negeri. Namun beliau memilih untuk mengetuai serangan politik terhadap dasar MyKiosk bersama MCA, malah menuduh dasar ini bermasalah. Ini bukan sahaja bertentangan dengan pendirian Exco Mohd Jafni, malah mewujudkan percanggahan terbuka dalam barisan kerajaan negeri. Bagaimana kerajaan negeri boleh berfungsi secara berkesan jika Exco sendiri bersikap bercanggah secara terang-terangan?” soal Chong Zhemin.

Menurutnya, di bawah sistem Westminster, semua anggota Exco wajib mematuhi prinsip solidariti kabinet. Jika seseorang Exco tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, maka pilihan paling bermaruah dan berintegriti adalah meletakkan jawatan. Tidak boleh seseorang itu menjadi sebahagian daripada kerajaan di dalam, tetapi menyerangnya dari luar. Ia akan memecahbelahkan pentadbiran dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Jika Ling Tian Soon benar-benar percaya MyKiosk bermasalah, beliau patut meletak jawatan sebagai Exco. Jika beliau ingin kekal dalam kerajaan, maka beliau perlu menyokong dasar ini. Tak boleh makan gaji kerajaan, tapi hentam dasar kerajaan sendiri.”

Chong Zhemin menambah, walaupun pelaksanaan MyKiosk masih boleh diperbaiki, namun matlamat dasarnya adalah baik. Kerajaan negeri juga telah mengambil langkah penambahbaikan seperti memilih lokasi lebih strategik, meningkatkan kemudahan asas dan menyediakan latihan kepada peniaga.

Beliau membangkitkan persoalan serius: “Jika seorang Exco boleh secara terbuka menentang dasar kerajaan negeri dan bercanggah dengan rakan-rakan Exco yang lain, bagaimana kerajaan negeri mahu beroperasi secara stabil? Kekeliruan institusi sebegini belum pernah berlaku dan hanya akan merosakkan tadbir urus.”

“Negara tidak perlukan ahli politik bermuka dua, sebaliknya perlukan pemimpin yang tegas dan berprinsip. Sebuah MCA yang kononnya mahu reformasi tidak boleh bermula dengan pendekatan bermuka dua. Sebuah kerajaan negeri yang ingin maju juga tidak boleh membiarkan orang bermuka dua berada dalam saf kepimpinannya.”