Kerajaan negeri kesal dengan kenyataan tidak berasas BN yang menuding jari bahawa pembangunan tidak terkawal adalah punca utama banjir kilat dan bukannya kegagalan menghabiskan Fasa 3 Rancangan Tebatan Banjir(RTB) Sungai Pinang, yang merupakan fasa terakhir yang bernilai RM350 juta. Pada masa yang sama BN pula menfitnah bahawa Kerajaan Negeri bersedia membelanjakan RM305 juta untuk kos kajian feasibiliti lebuhraya dan terowong bawah dasar laut, tetapi enggan membelanjakan RM350 juta untuk RTB Sungai Pinang.
Perbelanjaan RM305 juta untuk membuat kajian atas projek lebuhraya dan terowong bawah dasar laut untuk projek tambakan laut oleh Bandar Sri Tanjung di bawah E&O Bhd, adalah untuk penyuraian trafik dan bukannya untuk RTB. RM305 juta dibiayai daripada pemberian tanah oleh E&O Bhd kepada kerajaan negeri.
Projek Bandar Sri Tanjung adalah projek tambakan laut sebuah pulau buatan manusia yang diluluskan di zaman Kerajaan BN dengan bayaran begitu murah sekali sebanyak RM1 sekaki persegi dan pemberian tanah sebanyak 50 ekar kepada Kerajaan Negeri. Penjualan murah oleh BN jelas tidak berkepentingan awam, Untuk mendesak E&O menyerahkan lebih banyak tanah, kerajaan negeri menggunakan alasan perlunya projek lebuhraya dan terowong bawah dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion. untuk menyuraikan trafik dalam kawasan projek mereka.
Akhirnya, E&O Berhad telah bersetuju untuk menambah pemberian tanah kepada Kerajaan Negeri daripada 50 ekar kepada 190 ekar untuk membiayai kos dan projek penyuraian trafik. Sistem pengairan dan saliran bukanlah isu kepada E&O Bhd kerana projek tambakan laut ini adalah untuk sebuah pulau buatan manusia, yang tidak memberikan impak kepada banjir dalam kawasan yang berhampiran.
Untuk samakan projek penyuraian aliran trafik/lebuhraya dengan banjir/RTB adalah tidak betul, sama seperti cuba samakan projek pelabuhan dengan projek Lapangan Terbang Antarabangsa. Jangan samakan atau bandingkan oren dengan epal. Adalah diharapkan Kerajaan Persekutuan tidak melepaskan tanggungjawab untuk RTB Sungai Pinang seperti pembatalan Projek Penang Outer Ring Road (PORR) dan projek LRT oleh Kerajaan Persekutuan.
Perubahan cuaca telah mewujudkan “normal” baru yang bukan sahaja menyebabkan hujan turun dengan lebih lebat tetapi juga turun di kawasan yang biasanya tidak banjir. Hanya satu sistem saliran yang teratur boleh mengatasi “normal” baru dan banjir kilat besar ini, iaitu RTB Sungai Pinang yang membolehkan air hujan lebat alir dengan laju. Malangnya RTB Sungai Pinang telah terbengkalai selepas Fasa 1 dan 2 dihabiskan, sungguhpun ia telah dimulakan lebih 10 tahun lepas, atas keengganan kerajaan Persekutuan menyempurnakannya.
Hakikat bahawa air banjir surut dengan cepat di Pulau Pinang selepas hujan lebat berhenti, jelas menunjukkan bahawa sistem perparitan di Pulau Pinang berfungsi bukannya seperti di Kelantan, di mana air bertakung berhari-hari. Tidak boleh dinafikan bahawa ada projek jalan yang menjadikan keadaan banjir kilat lebih teruk seperti di Batu Maung. Projek pembangunan jalan ini merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang dijangka siap akhir tahun 2017.
Akan tetapi, Kerajaan Negeri tidak mahu mencari gaduh untuk meletakkan semua kesalahan di atas bahu Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian seperti mendalamkan perparitan yang sedia ada agar penduduk sana tidak perlu tunggu sehingga akhir 2017. Projek lebuhraya pun sama-sama penting dengan RTB. Marilah kita bekerjasama di antara kerajaan negeri dan kerajaan perseketuan demi kepentingan rakyat.