Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mengalu-alukan inisiatif Kementerian Kerja Raya yang memaklumkan bahawa pihaknya telah mengangkat permohonan kerja awalan projek naik taraf jalan tunggal dua (2) lorong kepada jalan berkembar empat (4) lorong di laluan Persekutuan FT006 dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar Seksyen 20.00 Sehingga Seksyen 23.00, Daerah Barat Daya (reka bentuk dan pengambilan tanah) pada Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) untuk pertimbangan agensi pusat.
Dengan ini, Kerajaan Negeri berharap permohonan berkaitan bakal memperoleh perhatian Persekutuan sewajarnya ekoran keperluan mendesak sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan meruncing dialami kini. Sebagai tambahan, permohonan berkaitan telah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak RMKe-11.
Salinan jawapan yang dikongsi Dewan Rakyat adalah seperti berikut:-
PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KELIMA BELAS TAHUN 2025
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN CHOW KON YEOW
TARIKH : 31 JULAI 2025 (KHAMIS)
SOALAN
YB Tuan Chow Kon Yeow minta Menteri Kerja Raya jelaskan status terkini projek menaik taraf jalan tunggal dua lorong kepada berkembar empat lorong di laluan Persekutuan dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar. Adakah ia disenaraikan sebagai projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi negeri Pulau Pinang, jika tidak kenapa dan penyelesaiannya?
NO SOALAN : 62
JAWAPAN
Tuan Yang Di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Kementerian ini telah mengangkat permohonan Kerja Awalan Projek Naiktaraf Jalan Tunggal 2 Lorong Kepada Jalan Berkembar 4 Lorong Di Laluan Persekutuan FT006 dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar Seksyen 20.00 Sehingga Seksyen 23.00, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang (Reka Bentuk Dan Pengambilan Tanah) pada Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk pertimbangan Agensi Pusat.
Projek ini meliputi jajaran jalan yang terletak di kawasan strategik antara Bayan Lepas dan Teluk Kumbar, dalam Daerah Barat Daya, Pulau Pinang. Permohonan projek ini merangkumi komponen reka bentuk awal serta pengambilan tanah yang diperlukan bagi pelaksanaan projek. Projek ini dijangka dapat meningkatkan kapasiti trafik, mengurangkan kesesakan, serta memperkukuh jaringan pengangkutan di kawasan berkenaan yang sedang pesat membangun.
Kelulusan bagi permohonan cadangan projek tersebut akan dimaklumkan selepas pembentangan Bajet Kerajaan yang akan datang, tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan semasa Kerajaan.