Satu operasi penguatkuasaan yang melibatkan 61 buah kebun di Sungai Ichat, Cameron Highlands telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang bermula 25 Februari lalu. Fasa kedua operasi penguatkuasaan yang melibatkan 50 kebun telah bermula di mana 50 pekebun itu telah menerima notis pengosongan tanah pada minggu ini dengan tempoh 30 hari diberikan.
Kerajaan Negeri Pahang mendakwa bahawa pekebun itu sudah diberi notis pengosongan tanah sejak tahun 2009 maka tiada isu untuk memberikan masa yang lebih panjang untuk berpindah.
Namun begitu, tuduhan Kerajaan Negeri Pahang bahawa notis pengosongan tanah telah diberikan sejak tahun 2009 adalah tidak benar.
Saya mendapati bahawa kebanyakan pekebun itu mempunyai Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang sah sehingga tahun 2014 atau 2015. Sebagai contoh, salah seorang pemegang lesen LPS UT/KT/F-420 berjaya menunjukkan LPS yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Dan Tanah Cameron Highlands dengan tempoh tamat pada 31 Disember 2014.
Selain itu, saya difahamkan satu sesi dialog antara Pihak Berkuasa Negeri bersama pekebun telah diadakan pada tahun 2009 dan turut dihadiri oleh bekas Ahli Parlimen SK Devamany dan Bekas Exco Negeri Pahang Hoh Khai Mun. Keputusan daripada sesi dialog tersebut membenarkan pekebun itu terus mengusahakan aktiviti pertanian di Sungai Ichat.
Pada tahun 2012, Jabatan Bekalan Air mengarahkan pekebun-pekebun supaya mengosongkan rizab 15 kaki dari sungai ke kawasan kebun, menjaga kebersihan sungai dan membina tangki kumbahan di setiap kebun.
Jelasnya, Kerajaan Negeri Pahang masih membenarkan pekebun-pekebun itu terus mengusahakan kegiatan pertanian di situ sejak tahun 2009.
Sampai hari ini, Kerajaan Negeri masih tidak dapat memberikan penjelasan yang rasional iaitu pengumuman laporan rasmi mengenai pencemaran di Sungai Ichat dan kenapa Kerajaan Negeri tidak menangani punca pencemaran sumber air di hulu Sungai Terla terlebih dahulu yang membekalkan air kepada Loji Rawatan Air Kuala Terla buat masa sekarang? Pencemaran sumber air di hulu Sungai Terla adalah lebih kritikal berbanding dengan Sungai Ichat. Adakah tindakan sedemikian merupakan penguatkuasaan secara pilihan (Selective Enforcement) atau bermotif politik di mana ia berlaku selepas Pilihanraya Kecil Parlimen Cameron Highlands?
Kerajaan Negeri seharusnya menghentikan Operasi Khas terhadap kebun-kebun di Sungai Ichat buat sementara dan mengadakan dialog bersama pekebun di situ untuk mencari “win-win solution” atau memberikan tempoh notis yang lebih panjang memandangkan Kerajaan Negeri sebelum ini telah menggalakkan pekebun terus menjalankan kegiatan pertanian di situ.