Berhubung isu inisiatif Kerajaan Negeri Pahang terkini iaitu semua pelanggan yang ingin berurusan di pejabat dan kaunter Kerajaan Negeri Pahang diwajibkan mendaftarkan diri dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan menerima suntikan vaksin Covid-19.
(https://www.facebook.com/543508379422732/posts/1226869877753242/?d=n)
Saya menyambut baik usaha Kerajaan Negeri untuk menggalakkan orang ramai menyertai Program Vaksinasi bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 dan melindungi masyarakat kita.
Namun, syarat kedua iaitu “yang telah bersetuju atau sudah terima suntikan vaksin Covid-19” adalah kurang wajar.
Kita boleh daftarkan diri kita, tetapi kita tak boleh tentukan jadual bagi terima vaksin Covid-19.
Mengimbas kembali fasa pemberian vaksin Covid-19 yang dijadualkan oleh JKJAV, sampai hari ini belumlah kita lengkapkan fasa pertama.
Oleh itu, syarat kedua itu tidak adil kepada golongan yang sudah daftar tetapi masih menunggu suntikan vaksin.
Setakat hari ini, sebanyak 11 Juta penduduk Malaysia telah mendaftarkan diri dalam program vaksinasi Covid-19, namun hanya 1.7 Juta penduduk saja diberikan vaksin. Hal sedemikian disebabkan banyak faktor, antaranya yang paling utama adalah bekalan vaksin tidak mencukupi.
Hakikatnya, bukannnya orang ramai tidak mahu terima vaksin, tetapi kerajaan tidak mampu membekalkan vaksin yang mencukupi.
Memandangkan situasi semasa, syarat kedua tersebut haruslah dimansuhkan.