Kami amat berterima kasih kepada rakyat Pulau Pinang kerana bukan sahaja telah membuktikan bahawa orang Pulau Pinang tidak boleh dibeli dengan politik wang tanpa segan silu, atau diugut dengan keganasan yang terjadi dalam hari-hari terakhir kempen Pilihanraya Umum ke 13 di Pulau Pinang. Jelaslah bahawa orang Pulau Pinang menghargai kerajaan yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam tempoh lima tahun lalu, lebih daripada mereka yang hanya menunjukkan muka pada lima hari terakhir kempen PRU yang lalu untuk membeli undi dan mengugut pengundi.
Kami merasa amat rendah diri dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang untuk sokongan yang telah ditunjukkan. Sepertimana perkhidmatan kami lima tahun lalu, begitulah jua kami akan teruskan untuk lima tahun berikutnya demi mempersiapkan masa depan untuk generasi muda serta mempersiapkan anak muda untuk masa depan. Kami bersedia untuk terus membina daripada kejayaan lalu bagi membentuk Pulau Pinang yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat berbanding masa lalu.
Lima tahun lalu, kami telah memperkenalkan prinsip urustadbir bersih berlandaskan prinsip CAT iaitu cekap, akauntabel dan telus. Melalui pendekatan-pendekatan seperti tender terbuka, pengisytiharan harta, menghalang ahli keluarga daripada berurus niaga dengan kerajaan negeri, kita telah berjaya untuk mendapat pelaburan terbesar dalam sejarah Pulau Pinang. Dalam lima tahun lalu sejak 2008 ke 2012, kita telah menerima pelaburan sebanyak RM 36.1 bilion, berbanding dengan hanya RM18.7 bilion dalam lima tahun sebelum itu pada 2003 sehingga 2007.
Melalui prinsip CAT, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah berjaya mencatat lebihan setiap tahun sejak 2008, mengurangkan hutang negeri sehingga 95% dan menambah aset negeri daripada RM800 juta pada tahun 2008 sehingga RM1.2 bilion hari ini. Daripada simpanan dan lebihan yang telah dicapai, kita akan menghapuskan kemiskinan tegar tahun ini dengan mencukupkan pendapatan isi rumah setiap keluarga yang mendapat kurang daripada RM770 sebulan, meneruskan bantuan tahunan kepada sekolah-sekolah, warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya, pelajar sekolah, mahasiswa dan penarik beca. Daripada maklumbalas yang kami terima, kerisauan bahawa BN akan membatalkan semua program poplar ini mengakibatkan ramai, terutamanya orang Melayu, menolak BN dan menyokong Pakatan Rakyat.
Di sebalik peningkatan jelas sokongan pengundi masyaraktat Cina dan India beserta dengan peningkatan sokongan orang Melayu, Pakatan Rakyat Pulau Pinang menyaksikan peningkatan undi popular daripada 63% kepada 66% serta menang di kesemua kerusi dengan majoriti yang bertambah. Pakatan Rakyat Pulau Pinang turut berjaya memenangi tambahan kerusi DUN di Seberang Jaya, menambahkan bilangan kerusi DUN daripada 29 ke 30. Pakatan Rakyat tidak akan mengikuti permainan perkauman BN dengan menghentam pengundi Cina dan menjadikan komuniti Cina sebagai kambing hitam kepada kekalahan BN. Malah, Pakatan Rakyat akan melayan kesemua rakyat Pulau Pinang secara adil, tanpa mengira keturunan, agama dan kepercayaan politik.
Sebelum saya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk penggal kedua, saya telah melawat Kampung Melayu di Air Itam, kawasan saya yang terdapat penempatan masyarakat India di Ujong Batu dalam kawasan Bagan serta Air Putih. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang 2.0 akan berlaku adil kepada semua, termasuk mereka yang telah menyokong BN.
Cadangan Bayaran Tahunan RM100 Program Ibu Emas Bagi Menunjukkan Penghargaan Kepada Semua Suri Rumah Berusia 60 Tahun Ke Bawah Yang Tidak Bekerja Tetapi Mengasuh Anak-Anak Mereka Dari Tahun 2014.
Seandainya Pakatan Rakyat telah berjaya ke Putrajaya, sebuah kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat akan memberi bayaran RM600 setahun kepada semua surirumah yang tidak bekerja, supaya mereka boleh menjaga keluarga mereka dengan baik. Pilihanraya Umum kali ini telah menunjukkan kuasa kaum wanita, ramai darinya yang mengundi buat kali pertama demi keadilan, kebebasan, kebenanaran, integriti dan pentadbiran yang baik. Sebagai penghargaan kepada sokongan mereka, saya akan mencadangkan program Ibu Emas untuk memberikan RM100 setahun kepada semua suri rumah di bawah umur 60 tahun yang tidak bekerja tetapi mengasuh anak-anak dan keluarga mereka, mulai tahun 2014.
Semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang Mesti Mengisytiharkan Harta Secara Tahunan Dengan Disahkan Oleh Sebuah Firma Perakaunan.
Kita akan terus memperbaiki prinsip urus tadbir CAT, termasuk meneruskan pengisytiharan harta kepada umum pada setiap tahun terhadap semua wakil rakyat serta disahkan oleh sebuah firma perakaunan, berbanding hanya mengehadkannya hanya kepada Ketua Menteri dan ahli EXCO.
Kita akan meneruskan polisi-polisi pro-pertumbuhan, pro-kerja, dan pro-miskin terutamanya memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana, industri halal dan memperluaskan program mikro-kredit dengan dana tambahan sebanyak RM5 juta. Kita juga akan menggalakkan pertumbuhan industri akuakultur dengan memansuhkan lesen bot dan menyediakan pukat dan jala secara tahunan kepada nelayan perairan pantai. Di samping projek pelancongan sedia ada, kita ingin memperbaiki perkhidmatan hospitaliti dengan memberikan insentif perkhidmatan baik secara tahunan sebanyak RM600 kepada semua pemandu teksi.
Kita akan berusaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan sains dan teknologi melalui Penang Science Cluster dan inisiatif Tech-Dome bernilai RM25 juta. Kita juga akan menjadikan Pulau Pinang sebagai hub pendidikan serantau dengan membina Penang Learning Centers di semua daerah dan menarik minat institusi pendidikan bertaraf dunia seperti Universiti Kepimpinan Wanita Asia (Asian Women;s Leadership Universiti, AWLU). Sasaran utama kita adalah sentiasa untuk membina bakat manusia melalui latihan, latihan-semula, pengekalan dan penarikan bakat baru.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan tentang Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bagi membangunkan sistem pengangkutan awam serta mengembangkan rangkaian jalanraya sedia ada demi memastikan anak-anak kita tidak membesar sebagai ‘generasi kesesakan lalulintas’. Bukan sahaja untuk empat lebuhraya utama di Pulau Pinang tetapi juga untuk kerja-kerja jalanraya di Seberang Perai seperti di Jalan Bukit Minyak dan Jambatan Kampung Tanjung Berembang.
Dari aspek perumahan, kita akan meneruskan dana rumah mampu milik bernilai RM500 juta dengan membina 22,000 unit rumah mampu bilik yang berkualiti di George Town, Teluk Kumbar, Butterworth, Bukit Mertajam, Batu Kawan dan Juru, melingkupi lima kawasan.
Akhir sekali, agenda utama kita masih lagi untuk menjadikan Pulau Pinang lebih boleh didiami dengan menjadikkannya lebih bersih, hijau, selamat dan sihat. Kita sekarang adalah negeri paling boleh didiami di Malaysia dan menduduki tangga keempat sebagai tempat terbaik untuk bersara di seluruh dunia. Kita akan terus mengekal dan memperkukuh George Town sebagai bandar warisan dunia yang diiktiraf UNESCO termasuk dari segi seni dan budaya. Sebagai satu-satunya negeri ‘hijau’ yang menjalankan kempen anti beg plastik serta mencapai kadar kitar semula tertinggi di Malaysia pada 24%, kita kini akan mensasarkan untuk mencapai kadar kitar semula 40% sambil mengurangkan penghasilan sampah per kapitan sebanyak 50% menjelang tahun 2020.
Kerajaan Negeri juga bercadang untuk menambahkan bilangan kamera litar tertutup (CCTV) serta lampu jalan bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai negeri paling selamat di Malaysia. Kita akan meneruskan agenda untuk mengembalikan undi ketiga di Pulau Pinang bagi memperkasakan demokrasi tempatan melalui pilihanraya kerajaan tempatan.
Rakyat Pulau Pinang telah menyatakan dengan jelas dan memberikan sokongan tanpa syarat terhadap polisi mesra rakyat Pakatan Rakyat. Pulau Pinang tidak akan memberi ruang kepada kroni. Marilah kita semua bersatu untuk menjadikan Pulau Pinang negeri nombor 1 paling boleh didiami di Malaysia.