Salam Sejahtera.
Rakyat Pulau Pinang yang saya dikasihi.
Adalah diharapkan semua berada dalam kesihatan yang baik di samping keluarga tersayang.
Hari ini, kita berada pada hari ke-192 tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hari ke-108 bagi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menerusi pembentangan pelbagai agensi pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang Bilangan 13/2020 yang dipengerusikan oleh saya pada pagi ini, beberapa ketetapan telah diputuskan yang mana keutamaan adalah tertumpu kepada mereka yang pulang dari negeri atau zon-zon berstatus kuning dan merah kes COVID-19 kini.
Berdasarkan laporan situasi terkini membabitkan pandemik berkaitan di Negeri Pulau Pinang iaitu kewujudan Kluster Ara pada 20 September 2020, mesyuarat telah memutuskan bahawa semua pihak yang pulang dari negeri Sabah adalah AMAT DIGALAKKAN untuk menjalani ujian swab di klinik-klinik kerajaan mahupun dengan kemudahan kesihatan pihak swasta yang digazetkan atas tanggungan/inisiatif sendiri.
Justeru, adalah menjadi harapan saya agar kita bersama-sama wujudkan sikap kebertanggungjawaban dan menyeru supaya setiap individu yang terlibat untuk menjalani pemeriksaan ujian COVID-19 sebagai langkah awal dalam bersama-sama membendung penularan rantaian wabak berkaitan bukan hanya dalam kalangan keluarga terdekat masing-masing malah komuniti sekeliling membabitkan kesejahteraan Negeri Pulau Pinang secara menyeluruh.
Sebagai tambahan, lain-lain perkara yang turut dipersetujui adalah seperti berikut:
- Operasi aktiviti hiburan/syarat lesen hiburan awam adalah sehingga jam 12 tengah malam. Pub dan disko masih tidak dibenarkan;
- Operasi premis serbaneka 24 jam, waktu operasi adalah sehingga jam 2 pagi;
- Sepanjang tempoh sambutan Nine Emperor God Festival, PBT membenarkan untuk dine-in (dalam khemah perayaan) dengan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Dengan ini, saya berharap seluruh rakyat dan negeri Pulau Pinang akan bersatu dan teguh menghadapi cabaran wabak serta situasi ekonomi kini. Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk melindungi rakyat dan ekonomi negeri demi memastikan Pulau Pinang sentiasa berdaya maju.
Kerajaan Negeri akan sentiasa sentiasa bersama anda semua. Saya percaya dan yakin orang Pulau Pinang mampu harungi dan menang dalam pertempuran ini.
Penang Lawan COVID-19!