Skip to content

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia untuk berkomunikasi dengan Kerajaan Singapura bagi memohon kelonggaran untuk rakyat Malaysia

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia untuk berkomunikasi dengan Kerajaan Singapura bagi memohon kelonggaran untuk rakyat Malaysia, terutamanya warga Pulau Pinang, yang telah berhimpun bagi menuntut reformasi pilihanraya di Malaysia; setelah kerajaan BN menang walaupun kalah undi popular sebanyak 47% berbanding 51% undi untuk Pakatan Rakyat. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang cuba untuk memastikan jika ada warga Pulau Pinang yang terlibat di antara 21 warga Malaysia yang ditahan kerana menjalankan dua protes pada 8 dan 11 Mei.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengiktiraf dan menghormati hak kerajaan Singapura untuk menentukan dan mengambil tindakan berasaskan undang-undang dan hal ehwalnya sendiri; namun saya percaya bahawa kerajaan Singapura tidak akan menolak usaha untuk memohon kelonggaran. Usaha demikian adalah berdasarkan asas kemanusiaan dan tidak sepatutnya dilihat sebagai campur tangan asing dalam hal ehwal Singapura.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap agar pihak Singapura dapat melihat kes ini daripada sudut hak asasi manusia dan bukan sudut jenayah memandangkan mereka yang terlibat adalah dari kalangan mereka yang patuh kepada undang-undang, tidak mempunyai rekod jenayah mahupun rekod campurtangan dalam hal ehwal dalaman Singapura.