Menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) yang berlangsung semalam, 5 April 2023, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebanyak 0.75 gaji bulanan atau minimum RM1,500 kepada anggota perkhidmatan awam negeri.
Pemberian yang bakal dibayar pada 17 April 2023 turut dipanjangkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri. Sebagai tambahan, BKK berjumlah RM300 masing-masing juga disalurkan kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran serta Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), guru tahfiz, pondok dan tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang.
Selain sebagai persediaan menyambut Syawal yang lebih bermakna pada tahun ini, BKK yang dianggarkan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM10.95 juta kepada Kerajaan Negeri tersebut adalah sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri atas sumbangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan pentadbiran negeri berada pada landasan yang tepat untuk merealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.