Skip to content

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius berhubung laporan media berkaitan kelulusan permit yang diberikan oleh Menteri Besar Kedah kepada sebuah syarikat bagi penerokaan mineral berskala besar yang dirujuk sebagai Rare Earth Elements (REE) di Ulu Muda, Sik dan Baling

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius berhubung laporan media berkaitan kelulusan permit yang diberikan oleh Menteri Besar Kedah kepada sebuah syarikat bagi penerokaan mineral berskala besar yang dirujuk sebagai Rare Earth Elements (REE) di Ulu Muda, Sik dan Baling.

Umumnya, Kerajaan Negeri tidak bersetuju dan memohon pertimbangan serta campur tangan yang sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Sumber Asli dan Tenaga (NRE) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan usaha berbahaya ini dihentikan serta-merta bagi menjamin keselamatan bekalan air negeri NCER (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri berpandangan bahawa Menteri Besar Kedah dengan mudah telah melupakan peranan yang telah dimainkan oleh Hutan Simpan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah adalah datangnya dari Ulu Muda, manakala lebih daripada 80 peratus air mentah yang diabstrak oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dari Sungai Muda, dekat muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang juga berasal dari Ulu Muda.

Operasi penerokaan berskala besar seluas 163,000 hektar ini sudah pasti akan melibatkan pembukaan tanah secara berskala besar. Aktiviti penebangan pokok, perataan bukit, kerja mendirikan kuari besar dan menggali ke bumi akan menyebabkan kemusnahan besar di persekitaran hutan hujan. Begitu juga dengan aktiviti perlombongan yang turut akan memberi kesan buruk kepada Sungai Muda yang menjadi sumber air mentah yang strategik.