Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat khuatir dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel hari ini berhubung kemungkinan El Niño atau pemanasan berpanjangan di Lautan Pasifik, yang akan berkembang pada separuh kedua tahun ini yang akan memburukkan lagi cuaca kering sedia ada. Palanivel berkata kemungkinan berlakunya El Nino ini telah didedahkan oleh Asean Specialised Meteorological Centre’s (ASMC) pada sidang baru-baru ini di Brunei dan hujan dijangka berada di bawah paras purata bagi kebanyakan rantau selatan sehingga akhir musim monsun barat daya pada awal Oktober.
Saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus untuk meminta satu taklimat khas daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kepada semua Exco Pulau Pinang, atas kemungkinan El Niño bakal menyebabkan hujan yang rendah sehingga Oktober tahun ini. Kemarau panjang luar biasa telah menyebabkan catuan air bukan sahaja di Selangor dan Johor tetapi juga di Taiping, bandar paling banyak menerima hujan di Semenanjung Malaysia.
Tambahan, penggunaan air domestik yang tinggi di negeri ini, iaitu sebanyak 311 liter per kapita sehari, adalah 50% lebih tinggi daripada purata kebangsaan sebanyak 212 liter per kapita sehari, dan jelas tidak mampan. Di bawah keadaan yang mencabar pada masa kini, kami tidak boleh terus dengan “urusan biasa”. Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu bertindak secara bertanggungjawab untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan catuan air.
Malah, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili memberikan alasan penggunaan air domestik Pulau Pinang yang merupakan tertinggi di negara ini untuk menolak permohonan kami agar Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak yang bernilai RM300 juta untuk meningkatkan bekalan air Pulau Pinang. Maximus juga berkata Pulau Pinang boleh menjimatkan bekalan air yang diperolehi jika kita mengurangkan penggunaan air yang tinggi.
Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuat keputusan dengan penuh kesedaran untuk mengelakkan risiko catuan air walau apa pun dengan mengurangkan penggunaan air domestik yang tinggi melalui peningkatan kadar tarif air. Usaha-usaha kita sebelum ini dalam pendidikan dan mengenakan Surcaj Pemuliharaan Air atau Water Conservation Surcharge (WCS) untuk menghukum mereka yang membazirkan air tidak berjaya. Saya amat memahami rasa tidak puas hati penduduk Pulau Pinang berkenaan kenaikan harga tetapi kerajaan negeri merasakan bahawa ini adalah lebih baik berbanding catuan air.
Kami mohon untuk berbeza dengan beberapa orang yang menentang kenaikan air yang dicadangkan dengan mengatakan bahawa rakyat lebih suka catuan air berbanding peningkatan kos. Kenyataan ini mengabaikan mimpi ngeri kesulitan dan penderitaan mereka yang menghadapi catuan air di Selangor. Malah ramai yang terpaksa menambah perbelanjaan harian akibat catuan air.
Kami percaya kepada kebebasan memilih. Kerajaan Negeri Pulau Pinang memilih untuk mengelakkan catuan air dengan mengurangkan penggunaan air yang tinggi dalam negeri. Pilihannya adalah untuk membayar lebih jika anda menggunakan air yang berlebihan agar orang awam secara keseluruhannya boleh mengelakkan risiko catuan air.
Ini berbeza daripada menaikkan harga gula kerana syarikat-syarikat kroni mendapat manfaat dengan menikmati keuntungan. Sebaliknya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dimiliki oleh kerajaan negeri dan akan menggunakan hasil untuk membiayai projek air bagi manfaat rakyat dan terus memberi subsidi air domestik. Tahun lepas, PBAPP memberi subsidi hampir RM70 juta bagi membolehkan tarif air domestik Pulau Pinang kekal paling rendah di Malaysia.
Kami kesal apabila media arus perdana menerima hujah BN, terutamanya MCA dan Gerakan, dalam menentang kenaikan harga secara membuta-tuli tanpa ancaman dan kesengsaraan catuan air. Walaupun pertambahan penduduk dan pembangunan Pulau Pinang dalam 6 tahun terakhir ini melebihi perkembangan 18 tahun yang lepas, Pulau Pinang terus mencatatkan pengurusan bekalan air yang terbaik dengan Air Tanpa Hasil (NRW) hanya pada kadar 17.6% pada tahun 2012 berbanding dengan purata NRW negara sebanyak 36.4%.
Atas sebab ini ada NGO menuntut agar kami menaikkan kadar air domestik secara drastik. Ada yang menentang apabila kami memberikan diskaun 60% Surcaj Pemuliharaan Air (WCS) kepada keluarga dengan 8 atau lebih ahli keluarga. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri merasakan bahawa diskaun WCS adalah perlu kerana kita perlu mendengar rintihan orang ramai dan perlahan-lahan membantu mereka memahami kepentingan mengurangkan penggunaan air yang tinggi. Kerajaan negeri telah mendengar pelbagai komen yang dibuat dan memberi jaminan bahawa kenaikan tarif air domestik yang dicadangkan itu tidak akan memberi kesan kepada mereka yang menjimatkan air tetapi hanya mereka yang mempunyai penggunaan air domestik yang tinggi.