Skip to content

Kerajaan negeri Pulau Pinang menegaskan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang mengabaikan nasihat

Dalam menegakkan kebebasan bersuara dan mengutuk keras kebencian kaum, kerajaan negeri Pulau Pinang menegaskan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang mengabaikan nasihat berkenaan “Tanda Putera” yang penuh dengan pembohongan, menyerang kumpulan minoriti dan beribu-ribu rakyat Malaysia yang tidak bersalah yang terbunuh semasa 13 Mei 1969. Memandang isu ini beersabit hal sejarah, kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai tanggungjawab moral untuk mengambil pendirian yang jelas dan nyata untuk menentang sebarang usaha bagi menulis semula sejarah yang terlalu tidak konsisten dengan kejadian dan fakta sebenar.

Sebaliknya, mereka yang cenderung kepada Kerajaan Persekutuan BN telah mengambil pendekatan yang bertentangan dengan mengancam untuk menutup pengendali pawagam dan lain-lain bentuk tindakan undang-undang jika Tanda Putera tidak ditayangkan. Pihak polis telah pun digunakan untuk membuang karya seni di Kuala Lumpur. Ini adalah perbezaan di antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, di mana, di negeri ini, mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang masih boleh memaparkan persembahan mereka tanpa gangguan. Inilah yang perlahan-lahan menjadikan Pulau Pinang kota seni Malaysia kerana artis menikmati kebebasan bersuara.

Walau bagaimanapun kebebasan bersuara tidak bererti kebebasan untuk berdusta. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah ini untuk mengeluarkan nasihat mengenai Tanda Putera kerana filem itu telah melintasi garis sempadan dengan menggunakan dana awam untuk menyebarkan pembohongan yang menggalakkan kebencian dan bukan keharmonian antara pelbagai kaum di Malaysia.

Berikutan ancaman daripada kerajaan Persekutuan, kami telah dimaklumkan bahawa semua pengusaha pawagam akan menayangkan filem ini tidak lama lagi di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi jaminan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak, tetapi kami berharap semua pihak, termasuk penonton dan pengusaha filem boleh melihat disebalik pembohongan dan kebencian perkauman tertanam dalam filem itu.

Tajaan kos pengeluaran filem itu sebanyak RM4.8 juta oleh kerajaan Persekutuan hanya boleh dilihat sebagai satu sokongan rasmi sepenuhnya, termasuk terhadap adegan rekaan yang diakui sendiri oleh pengarahnya sebagai tidak benar tetapi dijelaskan sebagai “lesen kreatif”. Lesen Kreatif tidak memberi sesiapa hak untuk menyebarkan pembohongan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan konflik. Jelas BN sanggup ke tahap ini untuk memaksakan pembohongan dan menafikan kebenaran.

Ini menimbulkan persoalan sama ada dengan menggalakkan kebencian kaum terhadap minoriti dan menyalahkan minoriti sebagai punca semua masalah adalah sebahagian daripada justifikasi dan alasan untuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah. BN mungkin tidak akan berjaya mengaburi fikiran generasi akan datang. Di sinilah letaknya tanggungjawab kita untuk berpegang teguh kepada kebenaran dan yakin masih terdapat rakyat Malaysia yang akan berjuang melawan penindasan terhadap kumpulan minoriti di Malaysia.