Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S.Subramaniam bahawa pihak kementeriannya tidak pernah lewat semasa melaksanakan projek-projek pembesaran hospital yang sedia ada ataupun membina hospital baru atau klinik kesihatan baru di Pulau Pinang.
Pihak Kerajaan Negeri akan memastikan bahawa Datuk Seri Dr. S.Subramaniam memegang janjinya dengan memulakan pengiraan masa bila projek-projek hospital baru dan klinik kesihatan baru yang bernilai RM 1,005 juta.
Pihak Kerajaan Negeri berharap bahawa pihak kementerian tidak akan mungkir janji dan melaksanakan projek-projek tersebut secepat mungkin. Sekiranya boleh pada tahun ini.
Jawapan Datuk Seri Dr. S.Subramaniam kepada soalan saya (Soalan Lisan) di Parlimen pada 31 Julai 2017 adalah seperti berikut:
SOALAN : 60
YB Tuan Lim Guan Eng [Bagan] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan tentang jumlah dan nilai projek-projek pembesaran Hospital Besar Pulau Pinang, Bukit Mertajam, Seberang Jaya dan Balik Pulau serta klinik-klinik kesihatan di Pulau Pinang, dan mengapa sehingga kini ia tidak diluluskan untuk menangani kesesakan. Adakah pemberian ubat dilambatkan dalam kaedah baru.
Tuan Yang di-Pertua,
Di bawah RMK 11, bagi Hospital Pulau Pinang (HPP), terdapat satu (1) projek naik taraf sedang dilaksanakan dengan kos RM13.99 juta dan terdapat empat buah lagi projek yang sedang dirancang iaitu Menaiktaraf Perkhidmatan Transplan HPP (RM6 juta), Blok Wanita dan Kanak-kanak HPP (RM296.9 juta), kerja awalan Blok Klinik Pakar dan Wad Hospital HPP (RM20 juta) dan Kuarters HPP (RM75 juta).
Bagi Hospital Seberang Jaya (HSJ), terdapat dua (2) buah projek pembangunan yang sedang berjalan iaitu Projek Naiktaraf HSJ (RM17.8 juta) dan Multistorey Block HSJ (RM486.2 juta). Kementerian ini turut ingin memaklumkan bahawa Projek Naiktaraf Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar, Hospital Balik Pulau (RM22.5 juta) telah dibuat tawaran tender pada 15 Mei 2017 dan SST akan dijangka dapat dikeluarkan pada bulan September 2017. Hospital Bukit Mertajam pula akan dilaksanakan projek menaiktaraf sistem penghawa dingin berpusat di dewan bedah dan sistem bekalan elektrik yang melibatkan kos RM7 juta.
Manakala bagi projek pembinaan klinik kesihatan di Pulau Pinang, KKM telah meluluskan pelaksanaan dua (2) buah projek iaitu Klinik Kesihatan (jenis 2) Bandar PERDA, Seberang Perai Tengah dengan kos RM30 juta dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih, Barat Daya dengan kos RM30 juta.
Bagi perkara berkenaan kelewatan dalam pemberian ubat dilambatkan dalam kaedah baru, dimaklumkan Kementerian ini tidak membuat sebarang perubahan ke atas prosedur pemberian ubat kepada pesakit di fasiliti farmasi KKM.