Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengeluarkan nasihat, bukan larangan dan tiada tindakan akan diambil ke atas mana-mana panggung wayang di Pulau Pinang yang menayangkan filem “Tanda Putera”. Sepertimana nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan rakyat yang melawat negara-negara yang bahaya, nasihat ini dikeluarkan kepada pengendali panggung wayang untuk menekankan kepada orang umum betapa bahayanya fitnah dalam filem ini yang mampu mengancam perpaduan nasional dan kaum di negara ini.
Sepertimana tidak ada tindakan yang diambil terhadap orang yang membahayakan diri mereka dengan mengabaikan nasihat perjalanan tersebut, tidak ada tindakan akan diambil terhadap pengendali panggung wayang yang mengabaikan nasihat Kerajaan Negeri. Demi menyangkal fitnah oleh media kawalan BN, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengulangi bahawa tidak ada sesiapa akan dihalang daripada menonton filem ini di Pulau Pinang. Kedua-dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai tidak akan menghukum pengendali panggung wayang di Pulau Pinang kerana menayangkan filem tersebut.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah untuk mengeluarkan nasihat ini kerana filem ini telah melampaui batas dengan menggunakan wang awam untuk menyebarkan fitnah dan menggalakkan kebencian dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa. “Tanda Putera” telah diterbit dengan kos RM4.8 juta yang dibiayai oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC).
Pembiayaan oleh Kerajaan Persekutuan ini boleh dilihat sebagai suatu pengesahan rasmi filem tersebut, termasuk babak-babak di mana pengarah sendiri telah mengakui adalah tidak benar dan sebenarnya dibuat dengan menggunakan “lesen kreatif”. Lesen kreatif ini tidak membolehkan penyebaran fitnah yang boleh mengancam keharmonian dan mencetuskan konflik. Ini menimbulkan soalan sama ada dengan mempromosikan kebencian kaum terhadap minoriti, menyalahkan minoriti sebagai punca segala masalah serta mempergunakan minoriti itu sebahagian daripada kewajaran dan alasan untuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang bimbang bahawa pemomokan minoriti dalam filem ini akan membawa kepada pencabulan hak mereka dan juga mana-mana rakyat Malaysia yang menyokong hak asasi manusia untuk semua. Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya mampu memberi nasihat ini sebagai kompas moral dan tanda bantahan terhadap filem yang menggalakkan provokasi sentimen perkauman dan kebencian kaum.
Kami percaya dengan sesungguhnya bahawa kebencian terhadap mana-mana golongan kaum adalah umpama kebencian terhadap kemanusiaan sendiri, kerana kita semua sebenarnya satu kaum – kaum manusia. Mari kita tunjukkan bahawa Malaysia berupaya untuk menjadi terbaik tanpa mengira kaum atau agama.