Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik jawapan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat pada 10 Disember 2020 bahawa Menteri Besar Kedah telah memberi jaminan tidak akan meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda.
Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan berpegang kepada jaminan yang diberikan demi kepentingan bekalan sumber air mentah bagi keperluan 4.2 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang secara keseluruhan.
Serentak itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mengalu-alukan usaha Menteri untuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan bagi memastikan kelangsungan kawasan tadahan sumber air di Ulu Muda dapat dilindungi daripada sebarang aktiviti yang boleh mengganggu gugat kawasan tadahan sumber air yang begitu penting tersebut.
Pulau Pinang mengekstrak sumber air mentah dari Sungai Ulu Muda di bahagian sempadan negeri, oleh itu, isu pampasan adalah perlu diselesaikan oleh kerajaan Persekutuan sejajar dengan undang-undang dan hak antarabangsa berkaitan penggunaan air di negara ini.