Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik perutusan khas YAB Perdana Menteri pagi ini. Perancangan memerangi wabak COVID-19 dan menghadapi krisis ekonomi telah digariskan melalui enam pendekatan sebelum ini. Kini, negara telah bersedia memulakan pendekatan ketiga iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal serta berhati-hati dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bakal dilaksanakan.
Menerusi pengumuman sebentar tadi, hampir keseluruhan aktiviti ekonomi dapat dan dijangka beroperasi semula. Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini terus komited dan akan berkerja keras dalam mencapai matlamat disarankan iaitu menggerakkan semula ekonomi negeri serta negara secara keseluruhan di bawah normal baharu.
Kerajaan Negeri akan memperhalusi semua kandungan tatacara operasi standard (SOP) bersama-sama Ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang akan bersidang pada Ahad ini, 3 Mei 2020 dan butiran-butirannya akan diumumkan pada kadar sesegera mungkin.
Dalam pada itu, premis-premis atau pejabat-pejabat yang akan beroperasi semula pada Isnin, 4 Mei 2020 ini adalah diseru supaya mengamalkan segala amalan yang dipraktikkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antaranya, memastikan kebersihan premis; memastikan amalan penjarakan sosial di dalam premis atau dalam kalangan pelanggan yang berkunjung; pembekalan pensanitasi tangan di dalam premis; amalan pemakaian pelitup muka; pemeriksaan suhu badan dan yang mana-mana berkaitan. Bagi sektor pengangkutan awam, inisiatif pencegahan tambahan adalah perlu dipraktikkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Dengan ini, saya menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang untuk terus bersama-sama Kerajaan Negeri dalam usaha menempuh normal baharu bagi memastikan rantaian perebakan wabak pandemik COVID-19 diputuskan.
Penang Lawan COVID-19!