Skip to content

Kerajaan Negeri Pulau Pinang terpaksa membawa Kerajaan Pusat dan SPR ke Mahkamah Persekutuan untuk mendesak pemulihan undi ketiga

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk membawa Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Pilihan Raya ke Mahkamah Persekutuan bagi mendesak pemulihan undi ketiga dan pilihan raya kerajaan tempatan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Mengembalikan “undi ketiga” telah lama menjadi tuntutan utama dan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak pilihan raya pada tahun 2008.

Kerajaan Negeri berpendirian bahawa pilihanraya kerajaan tempatan adalah satu perkara kelolaan Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, dan bahawa Dewan Undangan Negeri mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan peruntukan bagi mengadakan pilihan raya tempatan di bawah Jadual Kesembilan dan Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Pada bulan Mei 2012, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) 2012, yang memperuntukkan supaya Suruhanjaya Pilihanraya menjalankan pilihanraya kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa Enakmen tersebut akan berkuat kuasa di Pulau Pinang pada 31 Januari 2013, walau bagaimanapun Kerajaan Negeri telah gagal mendapatkan sebarang komitmen dari Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melaksanakan pilihan raya bagi MPPP dan MPSP selaras dengan Enakmen tersebut.

Selaras dengan komitmen untuk mengembalikan undi ketiga, Kerajaan Negeri kini telah mengarahkan peguamnya untuk memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk memberi keizinan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (sebuah undang-undang persekutuan yang digubal oleh Parlimen), yang memansuhkan pilihanraya kerajaan tempatan di seluruh Malaysia, adalah tidak sah atau tidak berkuat kuasa di Pulau Pinang; dan bahawa Enakmen 2012 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sebagai sah dan memperuntukkan bagi Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri akan bersama Encik P Ramakrishnan dalam saman ini, seorang warganegara malaysia, dan seorang pengundi berdaftar yang telah mengundi dalam pilihan raya negeri dan persekutuan sejak 1964 dan juga bekas presiden Aliran, yang mahu mengundi dalam pilihan raya kerajaan tempatan. Kerajaan Negeri telah mengarahkan supaya permohonan-permohonan yang perlu untuk difailkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama dengan bekas Presiden Aliran saudara Ramakrishnan akan menjadi dua plaintif dalam saman yang bersejarah ini terhadap kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Mahkamah Persekutuan.

LATAR BELAKANG

  • Pada 14 Julai 2009, YB Chow Kon Yeow, EXCO Negeri bagi Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, telah menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan untuk meminta pilihan raya kerajaan tempatan untuk dimasukkan dalam agenda Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan, tetapi permintaan ini adalah ditolak.
  • Pada 11 Ogos 2009, Dewan Undangan Negeri telah meluluskan resolusi menyeru pihak Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan bagi mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan, tetapi resolusi ini sekali lagi ditolak.
  • Pada 4 Mac 2010, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bagi meminta untuk dijalankan pilihanraya kerajaan tempatan untuk MPPP dan MPSP di bawah Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960, tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan berbuat demikian.
  • Pada 18 Januari 2012, Kerajaan Negeri yang mengecualikan kedua-dua MPPP dan MPSP dari seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang telah memansuhkan semua peruntukan undang-undang berkaitan pilihanraya kerajaan tempatan.
  • Pada 9 Mei 2012, Dewan Undangan Negeri telah meluluskan Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012, memperuntukkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan.
  • Pada 18 Disember 2012, Kerajaan Negeri telah menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan bahawa Enakmen tersebut akan berkuatkuasa mulai 31 Januari 2013.