Skip to content

Kerajaan negeri tidak boleh jalankan vaksinasi awam ke atas anjing liar kerana tidak ada vaksin dan terpaksa musnahkan anjing liar mulai 15 September 2015 sehingga penularan wabak penyakit anjing gila terkawal pada 9 Oktober 2015

Kerajaan negeri tidak boleh jalankan vaksinasi awam ke atas anjing liar kerana tidak ada vaksin dan terpaksa memusnahkan anjing liar mulai 15 September 2015 sehingga penularan wabak penyakit anjing gila adalah terkawal pada 9 Oktober 2015. Adalah dikesali setengah NGO yang tidak rasional masih mengeluarkan kenyataan palsu dan fitnah bahawa kerajaan negeri sepatutnya menjalankan vaksinasi awam ke atas anjing liar lebih awal lagi dan bukan memusnahkannya, sungguhpun perintah menghapuskan anjing liar yang dikuatkuasakan pada 15 September 2015 telahpun dibatalkan pada 9 Oktober 2015.

Kerajaan negeri rela menjalankan vaksinasi awam sekiranya ada 40,000 vaksin untuk 40,000 anjing liar, tetapi pada masa itu dan sekarang, vaksin pun tidak mencukupi untuk anjing-anjing bertuan, tak payah ambil kira anjing liar. Oleh itu kerajaan negeri tidak ada pilihan lain kecuali mengeluarkan perintah memusnahkan anjing liar agar menyekat wabak penyakit anjing gila.

Mujurlah perintah 15hb September 2015 yang tegas telah berjaya menyekat penularannya di Pulau Pinang dengan hanya 4 kes anjing liar yang dijangkiti rabies dan tidak adapun seekor anjing bertuan yang terlibat. Ini berbanding dengan 20 kes di Perlis dan 18 kes di Kedah. Sebelum ini Kerajaan Negeri telah mewartakan penyakit anjing gila atau rabies di Negeri Pulau Pinang berkuatkuasa pada 15 September 2015 seperti yang termaktub di bawah Akta Binatang 1953 (Akta 647) setelah didapati kes Rabies telah menular ke Pulau Pinang dan disahkan pada 14 September 2015 yang lalu.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai, telah menubuhkan Jawatankuasa Pengawalan Wabak Rabies negeri Pulau Pinang. Jawatankuasa ini juga telah memulakan Operasi Pengawalan dan Pembasmian Rabies pada 16 September 2015, sehari selepas perintah dikeluarkan oleh saya mengikut Pewartaan Penyakit Rabies di Negeri Pulau Pinang.

Kerajaan negeri membatalkan perintah memusnahkan anjing liar selepas merujuk kepada Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang, yang bersetuju dengan keputusan ini kerana kes terakhir anjing liar yang dijangkiti penyakit rabies adalah pada 21 September 2015, dan tidak ada kes baru selepasnya. Ini menunjukkan bahawa perintah menghapuskan anjing liar kerana tidak ada vaksin, memang berkesan dan efektik untuk mengawal wabak penyakit rabies.

Kini kami hanya tunggu kedatangan 40,000 vaksin yang dijanjikan oleh NGO selepas ia diperiksa dan disahihkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Adalah diharapkan NGO tersebut boleh bersikap rasional dan faham bahawa kerajaan negeri mesti bertanggungjawab, dan tidak boleh bersikap tidak peduli atau tak buat apa-apa dan terpaksa menjalankan pemusnahan pada 15 September bila tidak ada vaksin. Susah untuk kerajaan negeri mengadakan dialog dengan mereka yang rasis, bersikap ekstrimis ataupun tidak rasional.

Semua operasi bersama penangkapan dan pemusnahan anjing liar dihentikan sejak 9 Oktober 2015 kerana Kerajaan Negeri berpandangan bahawa wabak rabies telah di kawal di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri harap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabeery Chik dan Kementerian agar memulakan usaha vaksinasi secepat mungkin bagi terus memastikan wabak rabies tidak berulang di Pulau Pinang. Kini perkara ini di bawah pihak Kementerian, dan pihak NGO harus membawa tuntutan kepada pihak Datuk Seri Ahmad.

Kerajaan Negeri mengambil maklum perkara ini dan atas kesediaan Kerajaan Negeri untuk mencari alternatif lain bagi mengelakkan penularan wabak ini, sehubungan itu, saya selaku Ketua Menteri mengumumkan penarikan semula pewartan penyakit rabies seperti yang termaktub di dalam Akta Binatang 1953 tetapi masih mewajibkan untuk pemilik anjing mendapatkan vaksinasi rabies, berkuatkuasa mulai 09 Oktober 2015.