Skip to content

Kerajaan PeNipu – Kroni diutamakan, Rakyat dipinggirkan

Malaysia kini ibarat mengundur ke belakang akibat ketamakan kuasa politik oleh Perikatan Nasional (PN) yang kini menjadi penguasa negara.

Saya mendesak rejim PN meletakkan negara dan rakyat sebagai keutamaan daripada sibuk menyusun ahli parlimen PN dalam memegang jawatan GLC yang bergaji tinggi tetapi pula meminggirkan rakyat miskin.

Tiada lagi rasa segan silu kepada rakyat apabila penyusunan ahli-ahli parlimen untuk memegang jawatan-jawatan penting di dalam GLC dilakukan dengan begitu gelojoh dan semberono sekali. Di bawah rejim PN oleh Muhyiddin dan Azmin, pengiktirafan kuasa yang dimiliki perlu dibeli melalui cara pengagihan jawatan dan bukannya melalui pengiktirafan mandat rakyat di dalam PRU.

Langkah Pakatan Harapan yang meletakkan ramai golongan profesional yang bebas pengaruh politik menjawat kedudukan penting di dalam GLC dalam usaha mereformasikan sistem pentadbiran negara ke arah yang lebih baik terhenti begitu sahaja akibat langkah-langkah mereka yang tamak untuk berkuasa.

Kita bertuah kerana ketika negara diancam oleh penularan covid-19, kita dianugerahkan petugas barisan hadapan yang penuh komited dalam menyelamatkan negara. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada mereka. Namun demikian, sejauh mana kita dapat melihat kesungguhan rejim PN dalam usaha menyelamatkan negara dan mengurangkan beban rakyat?

Rakyat pada hari ini dihidangkan dengan perutusan khas yang manis di bibir dan indah khabar dari rupa dengan kerap oleh pihak pemegang kuasa pintu belakang namun apa yang kita lihat adalah kegelojohan mereka mengagihkan jawatan GLC dan kelemahan mereka dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Dalam tempoh beberapa hari lalu, kita mendapat berita ramai golongan rakyat yang ditolak permohonan bantuan mereka oleh kerajaan atas pelbagai alasan yang kurang prihatin seperti mempunyai lesen perniagaan bahkan ada pemohon yang mengatakan permohonan ditolak atas alasan dikatakan beliau sudah meninggal. Kita juga mendapat perkhabaran tentang keluh kesah para petugas barisan hadapan tentang kesukaran mereka mendapatkan bayaran elaun khas yang dijanjikan dahulu.

Masalah rakyat pada hari ini yang disebabkan kelemahan kerajaan Perikatan Nasional dapat dibaiki sekiranya PN memandang masalah rakyat lebih utama untuk diselesaikan berbanding masalah pengagihan jawatan GLC dalam kalangan ahli parlimen PN demi mengukuhkan kuasa yang dirampas melalui pintu belakang.