DAP mengalu-alukan penafian Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini bahawa tarikh pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen akan diawalkan bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan. Beliau menegaskan bahawa Belanjawan itu masih akan dibentangkan pada 28 Oktober ini.
Prestasi buruk anggota Kabinet sekarang adalah disebabkan ketaksuban mereka terhadap pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada tahun ini apabila mereka sepatutnya memberi tumpuan untuk mencegah kemelesetan ekonomi tahun depan. Pada masa Malaysia menghadapi pelbagai masalah ekonomi, daripada menjalankan tugas mereka merangka dasar awam yang kukuh untuk menanganinya, Menteri-Menteri Kerajaan sibuk berkempen dan berpolitik.
Terdapat lebih perhatian terhadap tuntutan UMNO terhadap pilihan raya umum awal dan Perikatan Nasional yang mengancam untuk menarik sokongannya kepada Ismail Sabri kerana Ismail mungkir janji, berbanding isu ekonomi yang mendesak seperti harga makanan dan bahan yang melambung tinggi, kekurangan buruh yang teruk, kejatuhan nilai ringgit dan kadar faedah yang meningkat. Betapa teruknya keadaan ekonomi global boleh dilihat melalui ekonomi AS mengalami kemelesetan teknikal sepanjang dua suku pertama 2022 dan Bank of England meramalkan bahawa United Kingdom akan mengalami kemelesetan pada suku akhir 2022.
Namun begitu, kerajaan yang tenggelam dalam permainan politik, terus menyatakan keyakinan bahawa Malaysia boleh mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi 2022 setinggi 6.3%. Malah Tabung Kewangan Antarabangsa telah menurunkan sasaran pertumbuhan tertinggi Malaysia kepada 5.6% untuk 2022.
Sementara itu nilai ringgit terus menurun berbanding AS pada RM4.46, terendah dalam 5 tahun, dan nilai terendah dalam sejarah RM3.24 kepada Dolar Singapura. Walaupun harga minyak dan minyak kelapa sawit tinggi, ringgit terus menyusut apabila ia sepatutnya mengukuh.
Walaupun ketika PH berkuasa dengan harga minyak dan minyak kelapa sawit yang rendah, ringgit tidak pernah jatuh ke paras terendah sedemikian. Walaupun kerajaan boleh mengetepikan penurunan ringgit berbanding Dolar AS disebabkan oleh kenaikan kadar faedah sebanyak 2.25% oleh Rizab Persekutuan AS, penurunan mendadak berbanding Dolar Singapura menunjukkan risiko pemulihan dan kelemahan ekonomi kita berbanding dua daripada tiga rakan dagangan terbesar negara.
Pembuat dasar harus menangani perkara ini dan juga segera mengatasi kegagalan buruh asing memasuki Malaysia. Kekurangan buruh yang teruk telah menyebabkan kerugian RM33.5 bilion kepada industri minyak kelapa sawit, sarung tangan getah dan alat ganti kenderaan serta berpuluh bilion ringgit dalam sektor lain. Walaupun dijanjikan bahawa pekerja Indonesia akan masuk pada 1 Ogos, banyak perniagaan masih menunggu dengan sedih. Menteri-Menteri berkenaan harus memberi tumpuan kepada memudahkan kemasukan mereka daripada menambah halangan.
Langkah-langkah untuk membendung kenaikan harga dengan kenaikan kadar faedah juga tidak terbukti berkesan. Tidak ada gunanya meneruskan kenaikan kadar faedah apabila ia hanya merugikan perniagaan dengan kos pinjaman yang lebih tinggi tanpa mengatasi kenaikan tinggi harga dan risiko menyebabkan kemelesetan ekonomi.
Kepentingan ekonomi negara memberi petunjuk bahawa pilihan raya umum perlu diadakan tahun depan dan bukan tahun ini. Kerajaan perlu menghentikan ketaksuban untuk mengadakan pilihan raya umum tahun ini tetapi sebaliknya fokus menjalankan tugasnya untuk mengelakkan ekonomi Malaysia daripada jatuh ke dalam kemelesetan pada 2023. Mengadakan pilihan raya umum ke-15 tahun ini dengan membenarkan kemelesetan ekonomi berlaku tahun depan adalah tidak berbaloi.