Skip to content

Kerajaan perlu melipatgandakan usaha menaiknaraf aset bekalan air sempena Belanjawan 2021

Pada bulan Oktober yang lalu, pejabat saya menerima lebih daripada 50 aduan berkenaan gangguan bekalan air di kawasan Skudai, Johor Bahru. Saya tidak harian kerana pengalaman saya sendiri yang mengadapi gangguan bekalan di pejabat saya yang bertempat di Taman Ungku Tun Aminah. Berdasarkan makluman yang diberi oleh syarikat bekalan air, sistem perpaipan di banyak kawasan telah pun usang dan harus ditukar atau dinaiktaraf secepat mungkin.

Bekalan air yang kurang sempurna bukan sahaja menimbulkan keresahan kepada para penduduk setempat, malah operasi sektor industri dan perniagaan turut terkesan.

Saya agak kecewa kerana cabaran kelestarian dan keselamatan air (water sustainability and security) tidak diberi perhatian yang secukupnya dalam Belanjawan 2021 yang diumumkan baru-baru ini. Setelah menyemak dokumen Anggaran Perbelanjaan 2021, didapati bahawa butiran Rancangan Bekalan Air Negeri Johor diperuntukkan RM20.1 juta manakala untuk butiran NRW* Nasional pula diperuntukkan RM259.2 juta untuk tahun 2021, namun peruntukkan untuk NRW Nasional lebih kurang berbanding dengan tahun lepas.

Justeru, saya mohon kerajaan menyenaraikan projek-projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di bawah Rancangan Bekalan Air Negeri Johor dan NRW Nasional secara terperinci. Kerja-kerja mengganti paip air lama dan menaiktaraf infrastruktur air harus dijalankan secepat mungkin untuk meningkatkan keselamatan air baik di Johor mahupun di negeri-negeri yang lain.

Di samping itu, pelaburan dalam infrastruktur bekalan air dapat mencetus lebih banyak peluang pekerjaan kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana yang kini dilanda krisis ekonomi ekoran wabak Covid-19.

Bukankah perbelanjaan sedemikian untuk menyelesaikan masalah harian rakyat lebih mendesak berbanding dengan peruntukkan 85 juta ringgit kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)? Menurut hujah mantan Ahli Parlimen Batu Pahat dan mantan Ketua Pengarah JASA Datuk Puad Zarkashi, JASA memang ditubuhkan untuk tujuan propaganda politik kerajaan semasa. Semasa negara dilanda krisis wabak penyakit dan ekonomi, perbelanjaan harus ditumpukan pada usaha menjaga kehidupan rakyat bukan politik kepartian semata-mata.

Saya tahu banyak kawasan lain di Johor terutamanya kawasan perumahan yang lama turut dihantui masalah penuaan sistem perpaipan ini dan kekerapan gangguan bekalan air seperti di kawasan Skudai. Memandangkan pengurusan asset air telah lama dipindah kepada bidang kuasa kerajaan Persekutuan, maka tanggungjawab tersebut harus dipikul dengan lebih gigih dan berkesan.

Rakyat Skudai menaruh harapan besar pada Ketua Setiausaha Kementerian Air dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr. Zaini Ujang untuk menyelesaikan isu gangguan air secara jangka panjang. Beliau merupakan seorang tokoh antarabangsa yang hebat dalam bidang pengurusan air dan saya difahamkan beliau sudah lama bermastautin di Skudai sejak zaman pensyarah di UTM Skudai pada 90-an. Di bawah pimpinan beliau, saya harap usaha menaiktaraf kemudahan bekalan air dapat dilipatgandakan dan membuahkan hasil dalam tempoh masa yang terdekat.

(*NRW – Non Revenue Water iaitu air tidak berhasil)